Skip to main content

Dunia

Kerosakan pada hutan tropika sedunia meningkat 12% pada 2020

Data terbaru dari Universiti Maryland menunjukkan bahawa kawasan hutan tropika yang rosak di seluruh dunia meningkat 12 peratus pada 2020, dengan kesan iklim seperti kebakaran, ribut dan kemarau memainkan peranan penting, menyebabkan kawasan setara ukuran Denmark lenyap.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerosakan pada hutan tropika sedunia meningkat 12% pada 2020

Gambar dipetik pada 2020 ini menunjukkan sebahagian hutan Amazon di Brazil yang musnah dibakar (Gambar: REUTERS/Ueslei Marcelino)

Diterbitkan : 02 Apr 2021 10:31PM Dikemas Kini : 02 Apr 2021 10:37PM

BOGOTA: Data terbaru dari Universiti Maryland menunjukkan bahawa kawasan hutan tropika yang rosak di seluruh dunia meningkat 12 peratus pada 2020, dengan kesan iklim seperti kebakaran, ribut dan kemarau memainkan peranan penting, menyebabkan kawasan setara ukuran Denmark lenyap.

Menurut data yang diterbitkan Institut Sumber Dunia (WRI) pada Rabu (31 Mac), dunia kehilangan 4.2 juta hektar hutan utama ini pada 2020, berbanding 3.75 juta hektar yang musnah pada 2019.

Para pakar alam sekitar sedang berusaha untuk memelihara hutan yang mencapai usia tua tanpa gangguan yang ketara, demi faedah ekosistem yang ditawarkan.

Keseluruhan jumlah pokok yang hilang pada 2020, termasuk di hutan hujan tropika, meningkat 6.6 peratus, menurut platform Pemantauan Hutan Global WRI.

"Setiap tahun kami membunyikan loceng amaran, namun jumlahnya terus meningkat," kata zamil WRI Frances Seymour dalam satu sidang berita maya.

Hutan kini semakin menjadi mangsa perubahan iklim, kata Cik Seymour menukil contoh kebakaran di kawasan hutan paya bakau.

Menurutnya terdapat bukti bahawa sebilangan pihak mengambil kesempatan sekatan koronavirus untuk melakukan pembalakan atau menebang secara haram di kawasan yang dilindungi, kata Cik Seymour, yang menggambarkan peningkatan dalam kegiatan tersebut sebagai lanjutan trend masa lalu.

Beliau bimbang negara-negara yang sedang menjalani proses pemulihan ekonomi pasca pandemik mungkin tidak akan mengutamakan perlindungan hutan pada masa depan.

Pemerintah "akan mencari bidang-bidang yang mana perbelanjaan boleh dipotong, dan seringkali kementerian alam sekitar adalah yang pertama menjadi sasaran," kata Cik Seymour, sambil menambah beberapa negara telah melonggarkan peraturan perlindungan sekitaran untuk merangsang pekerjaan.

Lima daripada 10 negara teratas yang mencatat kehilangan hutan pada tahun 2020 adalah di Amerika Latin, didahului oleh Brazil dan Bolivia. Di Afrika pula, Republik Demokratik Kongo menyaksikan kebanyakan hutannya rosak.

Satu titik harapan adalah Indonesia. Walaupun masih keempat di dunia dari segi kehilangan hutan utama, tahun 2020 menandakan tahun keempat berturut-turut ia mencatat jumlah penebangan hutan di negara Asia Tenggara itu merosot, kata WRI. Badan itu menambah, keadaan semakin baik itu sebahagiannya disebabkan oleh dasar pemerintah untuk melindungi hutan.

Jangan terlepas laporan-laporan BERITA Jelajah - Cinta Bumi di pautan ini.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita