Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerjasama M'sia, S'pura & Indonesia penting demi kelancaran perdagangan di Selat Melaka

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kerjasama erat antara Malaysia, Singapura dan Indonesia adalah penting dalam memastikan aktiviti perdagangan di Selat Melaka berjalan dengan lancar, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, ketiga-tiga pihak sebagai negara litoral dan penjaga Selat Melaka perlu bekerjasama dalam menjamin keselamatan serta perlindungan alam sekitar di selat itu agar tidak berlaku gangguan kepada aktiviti perdagangan.

Dr Wee berkata Selat Melaka merupakan antara laluan navigasi terpenting di dunia dengan 80,000 kapal yang membawa kira-kira 25 peratus nilai barang dagangan dunia melaluinya setiap tahun.

"Perairan cetek, pasang surut dan peralihan angin yang tidak menentu menjadikan selat ini antara lokasi paling mencabar untuk perdagangan antarabangsa, justeru semua halangan navigasi ini hendaklah diatasi dengan aplikasi teknologi serta amalan keselamatan moden.

"Apa jua yang berlaku di selat ini menjadi tanggungjawab bersama ketiga-tiga negara. Jadi, hubungan erat perlu wujud dalam memastikan keselamatan perjalanan dan perlindungan alam sekitar," katanya semasa majlis jamuan malam sempena Mekanisme Kerjasama ke-13 di Kuala Lumpur. 

Perbincangan tahunan Mekanisme Kerjasama yang pertama kali diadakan pada 2006 itu adalah usaha sama ketiga-tiga negara dalam membincangkan isu berkaitan keselamatan serta aktiviti perkapalan di Selat Melaka dan Selat Singapura.

Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing bagi subsektor gudang darat dan penetapan kementeriannya sebagai Agensi Kawal Selia, Dr Wee berkata langkah itu diambil selepas terdapat kekurangan tenaga kerja.

"Saya sedar aktiviti import dan eksport kini menjadi lebih rancak susulan permintaan yang mula beransur pulih dan mencapai satu tahap yang memberangsangkan. Antara rungutan oleh pengusaha gudang ialah ketiadaan pekerja.

"Jadi saya arahkan kementerian saya supaya menjalankan tugas kawal selia ke atas pengambilan pekerja asing berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta 446," katanya.

Awal dari itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam sidang media khas mengumumkan pengambilan pekerja asing bagi subsektor gudang darat dibenarkan dan Kementerian Pengangkutan akan berperanan sebagai Agensi Kawal Selia.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan