Skip to main content

Dunia

Kerjasama dengan Rusia, Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga jangka panjang Malaysia: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama dengan Rusia, Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga jangka panjang Malaysia: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Rusia Vladimir Putin pada Sidang Puncak Peringatan ASEAN-Rusia. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 20 Jun 2026 10:44PM
KEPALA BATAS: Kerjasama strategik dengan Rusia dan Turkmenistan bakal memperkukuh jaminan bekalan tenaga Malaysia untuk tempoh yang lama, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Presiden Rusia Vladimir Putin sudah memberikan jaminan terhadap perjanjian jangka panjang bagi pembekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Perkara itu disampaikan Presiden Rusia semasa perbincangan di Kazan ketika lawatan saya ke negara berkenaan baru-baru ini. Ia mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh serta persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park, pada Sabtu (20 Jun).

PM Anwar berkata lawatan rasmi ke Turkmenistan baru-baru ini pula membawa perkembangan lebih besar apabila negara Asia Tengah itu meluluskan akses baharu kepada Malaysia dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata perkembangan itu membuka peluang kepada Malaysia untuk memperoleh akses kepada antara simpanan gas terbesar di dunia, sekali gus menjamin keperluan tenaga negara untuk jangka panjang.

“Malaysia memperoleh akses kepada simpanan gas yang antara terbesar di dunia. Maknanya keperluan kita terjamin, Insya-Allah, untuk berpuluh-puluh tahun.

“Kita juga boleh menggunakannya untuk meningkatkan eksport ke negara rakan terutama China, Jepun dan Korea yang mempunyai keperluan tenaga tinggi,” kata beliau.

PM Anwar berkata persetujuan yang dicapai itu merupakan hasil hubungan baik serta rundingan antara Malaysia dengan Turkmenistan sejak lawatan Presiden Serdar Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.

Dalam pada itu, PM Anwar berkata hubungan antarabangsa perlu dimanfaatkan untuk melindungi kepentingan negara serta menjamin bekalan tenaga, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi rakyat.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita