Skip to main content

Dunia

Kerjasama ADR SG-Malaysia cerminan hubungan komuniti perundangan yang kukuh: Edwin Tong

Kerjasama yang semakin mendalam dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) antara Singapura dengan Malaysia menyerlahkan hubungan kukuh antara komuniti undang-undang serta penyelesaian pertikaian kedua-dua negara, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri) Singapura, Edwin Tong.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama ADR SG-Malaysia cerminan hubungan komuniti perundangan yang kukuh: Edwin Tong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia, Azalina Othman Said (kiri) bersama Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri) Singapura, Edwin Tong. (Gambar: Facebook/Edwin Tong)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 07:58AM
SINGAPURA: Kerjasama yang semakin mendalam dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) antara Singapura dengan Malaysia menyerlahkan hubungan kukuh antara komuniti undang-undang serta penyelesaian pertikaian kedua-dua negara, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri) Singapura, Edwin Tong.

Langkah memperkukuh kerjasama itu dimeterai secara rasmi pada Rabu (3 Jun) menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MOU) melibatkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), serta antara Pusat Perantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC) dengan AIAC.

Encik Tong berkata, MOU berkenaan turut mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan saluran yang dipercayai, cekap dan berkesan kepada perniagaan serta pelabur untuk menyelesaikan pertikaian.

"Memandangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan terus berkembang, kerjasama antara institusi penyelesaian pertikaian menjadi semakin penting.

"Perkongsian ini akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk pertukaran, perkongsian pengetahuan dan inisiatif bersama, di samping memperkasakan ekosistem penyelesaian pertikaian di rantau ini," kata Encik Tong dalam satu kenyataan pada Rabu.

Majlis menandatangani MOU itu disaksikan oleh Encik Tong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia, Azalina Othman Said selepas pertemuan mereka di Putrajaya.

MOU berkenaan merupakan susulan daripada perbincangan antara kedua-dua menteri di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel di Fiji pada Februari 2026, yang menyaksikan mereka meneroka langkah memperdalamkan kerjasama dua hala dalam perkhidmatan penyelesaian pertikaian.

"Pada pertemuan hari ini, Tong dan Azalina mengesahkan hubungan rapat dan berkekalan antara Singapura dengan Malaysia.

"Mereka membincangkan perkara yang membawa kepentingan bersama, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Konvensyen Singapura mengenai Perantaraan serta pengukuhan hubungan antara rakyat dengan rakyat," menurut Kementerian Undang-Undang Singapura.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita