Skip to main content

Dunia

Kerja naik taraf tiga jalan di Johor dapat dilaksanakan tahun hadapan susulan pertambahan kenderaan

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja naik taraf tiga jalan di Johor dapat dilaksanakan tahun hadapan susulan pertambahan kenderaan

(Gambar: Pixels/Tomas Anunziata)

PONTIAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia berharap kerja naik taraf tiga jalan di Johor dapat dilaksanakan tahun hadapan susulan pertambahan kenderaan menggunakan jalan tersebut.

Timbalan Menterinya Ahmad Maslan berkata hal itu membabitkan pembesaran jalan dari simpang tiga Ayer Baloi hingga Sedenak, simpang empat Benut ke tol Simpang Renggam dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian ke Tampok.

Beliau berkata KKR telah membuat permohonan berhubung kerja naik taraf itu kepada Kementerian Kewangan dalam 'rolling plan' kelima sebagai antara projek keutamaan tambahan peringkat negeri Johor.

"Tiga jalan itu akan mengubah landskap tiga kawasan Kulai, Simpang Renggam (Kluang) dan juga Pontian...kemudahan itu bukan hanya untuk kami di Pontian tetapi untuk Simpang Renggam dan juga Kulai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian, pada Jumaat (19 Apr).

Sementara itu, Encik Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata keputusan kerajaan untuk memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bertujuan menjaga kebajikan rakyat kawasan Parlimen terbabit.

"Tetapi sekadar ingin memaklumkan, pada ketika kami menjadi pembangkang selama 22 bulan, kami cuma diberi RM100,000 (S$28,000). Kalau mereka (pembangkang) dapat RM100,000 (S$28,000) juga boleh.


"Itu saya hendak maklumkan apa yang berlaku kepada kami, dapat juga (peruntukan) bukan tidak dapat," kata Ahli Parlimen Pontian itu.

Beliau berkata rakyat dan pengundi di setiap kawasan Parlimen tetap dilindungi dan tidak pernah dikecualikan daripada menerima sumbangan daripada kerajaan.


"Bukan kerajaan mengetepikan mereka sebagai Ahli Parlimen tapi kawasan mereka tetap dilindungi. Semua pengundi di kawasan mereka dapat sumbangan seperti Tunai Rahmah," katanya

Sumber : Bernama/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita