Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerja bersihkan sisa tumpahan minyak di perairan Johor dijangka selesai pada 29 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, Johor yang bermula pagi Sabtu (22 Jun) dijadual selesai sepenuhnya Sabtu depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fasa satu kerja-kerja pembersihan dilakukan kontraktor dilantik di kawasan terjejas melibatkan pengumpulan sisa sampah berminyak yang kini sudah mencapai 95 peratus.

Beliau berkata fasa kedua pembersihan melibatkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil pula sudah 20 peratus selesai.

"Kerja-kerja pembersihan lain seperti pengumpulan 'tarball' di permukaan pantai dan pengepungan air berminyak menggunakan 'absorbent boom' untuk mengelakkan mengalir ke arah laut juga giat dilakukan.

"Ia melibatkan kawasan pantai Sungai Rengit iaitu di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rengit dan Jeti Nelayan Sungai Rengit," katanya ketika ditemui para wartawan selepas merasmikan Karnival Alam Kita (Setiawangsa) di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad (23 Jun).

Encik Nik Nazmi berkata penemuan minyak juga dikesan di kawasan Pulau Cik Kamat dan kontraktor akan dihantar untuk melakukan pembersihan selepas penilaian keadaan di kawasan itu selesai.

Beliau berkata sehingga Ahad status lokasi lain antaranya kawasan berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit masih belum dibersihkan, manakala pemantauan terus dilakukan di Pantai Teluk Ramunia berhampiran kawasan masjid di sana.

"APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) telah menggerakkan aset untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Abu Bakar Maritime Base dan setakat ini tiada tompokan minyak dikesan di kawasan terbabit," katanya.

Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak supaya kerajaan menuntut ganti rugi daripada pihak terlibat sehingga berlakunya insiden tumpahan minyak itu, Encik Nik Nazmi berkata kerajaan Malaysia akan memperhalusi tuntutan berkenaan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan pada 14 Jun lalu bahawa sebuah kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura yang menyebabkan kira-kira 400 tan tumpahan minyak di perairan sekitar pantai Singapura dan merebak ke perairan negara itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan