Kereta terhumban ke laut susuli kemalangan di jambatan Pulau Pinang; operasi mencari dijalankan
Sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai di negeri itu hari ini (20 Jan).
GEORGE TOWN: Sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai di negeri itu hari ini (20 Jan).
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Perai, Azlan Hassan, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.54 pagi, yang memaklumkan mengenai kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan dengan sebuah daripadanya terhumban ke dalam laut.
Encik Azlan berkata sebuah pasukan pegawai dan anggota serta sebuah jentera dari BBP Perai dikerahkan ke tempat kejadian. Apabila tiba di sana, mereka mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan pemandunya yang berusia 20an tahun cedera ringan akibat kemalangan berkenaan.
"Sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kemalangan itu telah terjatuh ke dalam laut, namun pihak kami masih belum dapat memastikan jenis kenderaan dan status mangsa di dalam kereta tersebut," katanya.
Encik Azlan berkata operasi mencari dan menyelamat kenderaan serta mangsa yang terjatuh ke dalam laut itu dijalankan oleh anggota bomba bersama dengan pasukan Polis Marin.
Sementara itu, seorang pemancing di kawasan tiang bawah Jambatan Pulau Pinang yang dikenali sebagai Azrul berkata semasa kejadian itu, beliau sedang memancing bersama dua rakannya sebelum ternampak sebuah kereta terhumban ke dalam laut lalu tenggelam.
Katanya, beliau dan dua rakannya cuba mencari mangsa namun tidak menjumpai sesiapa.
"Waktu kereta itu terjatuh, memang kami nampak tapi tak sempat perasan jenis kenderaan tersebut. Kami cuba cari mangsa dengan menyuluh guna lampu picit yang kami bawa, namun tidak menjumpai sesiapa di tempat kereta terjatuh," katanya.
Beliau berkata mereka memaklumkan kejadian itu kepada Polis Marin yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.