Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kereta kebal Israel lepaskan tembakan ke arah suspek di selatan Syria

Kereta-kereta kebal Israel pada Rabu (5 Jan) melepaskan tembakan ke arah para suspek di sempadan Syria di Bukit Golan selepas mereka dikesan berada berhampiran dengan pasukannya, menurut tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
Kereta kebal Israel lepaskan tembakan ke arah suspek di selatan Syria

Sempadan antara Bukit Golan dengan Syria dikawal oleh kenderaan ronda tentera Israel (Gambar: AFP/Jalaa Marey)

Diterbitkan : 06 Jan 2022 02:09PM Dikemas Kini : 06 Jan 2022 02:09PM

BAITULMAKDIS: Kereta-kereta kebal Israel pada Rabu (5 Jan) melepaskan tembakan ke arah para suspek di sempadan Syria di Bukit Golan selepas mereka dikesan berada berhampiran dengan pasukannya, menurut tentera.

"Sebentar tadi sewaktu kegiatan tentera di Bukit Golan, tentera mengenal pasti suspek berada dekat dengan kedudukan tentera dan melepaskan tembakan ke arah mereka dari kereta kebal," menurut tentera dalam satu kenyataan ringkas.

"Para suspek kemudian bergerak ke wilayah Syria," tambahnya.

Dalam Perang Enam Hari pada 1967, Israel merampas sebahagian Bukit Golan yang strategik - terletak bersempadan dengan Lubnan, yang mengawal di sana - daripada Syria.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, melaporkan tentera Israel juga "menyerang, dengan menggunakan peluru kereta kebal di hutan di perkampungan Al-Hurriyah" di wilayah Quneitra Syria yang bersempadan dengan kawasan yang diduduki Israel di Bukit Golan.

SANA menambah helikopter Israel dan pesawat peninjau turut melakukan penerbangan di atas kawasan itu.

Badan Pemantau bagi Hak Asasi Manusia Syria, yang berpangkalan di UK, menyatakan kebakaran berlaku di hutan berhampiran kampung itu dan helikopter Israel dilihat berlegar-legar di sana tetapi ia tidak menyebut tentang sebarang korban.

Israel menganggap kawasan bahagian selatan Syria itu sebagai "barisan hadapan kedua" Hezbollah, yang dekat dengan seteru ketat Israel iaitu, Iran.

Sejak 2011 dan meletusnya perang saudara Syria, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, menyasarkan kedudukan pemerintah serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hezbollah.

Israel menyatakan ia cuba menghalang Iran, salah satu daripada sekutu utama Damsyik dalam konflik saudara selama sedekad itu, daripada mendapat tapak tetap bagi tentera.

Pasukan Pertahanan Israel menyatakan pada Selasa (4 Jan) ia menembak jatuh sebuah dron kecil pemantau Hezbollah yang terbang di atas sempadan Israel-Lubnan yang dikawal ketat.

Sumber : AFP/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa