Skip to main content

Dunia

Kereta api rempuh bas sekolah, 13 kanak-kanak maut

Sekurang-kurangnya 13 murid maut manakala lima lagi cedera hari ini (26 Apr) setelah sebuah kereta api merempuh sebuah bas sekolah di bahagian utara India.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Apr 2018 06:24PM Dikemas Kini : 27 Apr 2018 12:12AM

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 13 murid maut manakala lima lagi cedera hari ini (26 Apr) setelah sebuah kereta api merempuh sebuah bas sekolah di bahagian utara India.

Kesemua murid tersebut berusia bawah 10 tahun. Mereka sedang dalam perjalanan ke sekolah di Uttar Pradesh apabila sebuah kereta api penumpang bertembung dengan bas yang dinaiki di tempat melintasi landasan, yang tidak dikawal.

Kesan rempuhan itu menyebabkan bas tersebut terpelanting beberapa meter ke udara, mengorbankan 10 murid dengan serta-merta, Ketua Pegawai Perubatan Daerah, Akhilesh Kumar Singh memberitahu AFP.

"Lagi tiga daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan mereka semasa berada di hospital manakala lima lagi masih dalam keadaan tenat ," tambah beliau.

Stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman video puluhan penduduk cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada serpihan kenderaan yang sudah remuk.

Jalan-jalan raya di India adalah antara yang paling berbahaya di dunia, dengan lebih 150,000 nyawa terkorban setiap tahun.

Awal bulan ini, 23 kanak-kanak dan empat orang dewasa maut apabila seorang pemandu bas sekolah hilang kawalan, menyebabkan kenderaan itu terhumban ke dalam gaung sedalam 100 meter di utara Delhi.

India juga mempunyai ratusan tempat menyeberang landasan kereta api yang tidak dijaga, di mana kemalangan kerap berlaku, dengan para pengguna jalan raya sering tidak mengendahkan amaran kereta api.

Hampir 150,000 orang terkorban di landasan di negara itu setiap tahun, menurut laporan pemerintah negara itu pada tahun 2012.

India berikrar untuk menaik taraf tempat menyeberang landasan kereta api di negara itu pada tahun depan untuk mengurangkan kemalangan maut.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita