Kerajaan Theresa May ‘terselamat’ undi tidak yakin
Perdana Menteri Britain Theresa May pada Rabu (16 Jan) nyaris-nyaris tersingkir selepas undi tidak yakin terhadap beliau dan kerajaannya akibat kekalahannya dalam undian berhubung perjanjian Brexit, yang berlaku beberapa minggu sebelum Britain dijadual meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Cik Theresa May di Parlimen UK pada 16 Jan. (Gambar: HO/PRU/AFP)
LONDON: Perdana Menteri Britain Theresa May pada Rabu (16 Jan) nyaris-nyaris tersingkir selepas undi tidak yakin terhadap beliau dan kerajaannya akibat kekalahannya dalam undian berhubung perjanjian Brexit, yang berlaku beberapa minggu sebelum Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Cik May mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah politik moden Britain - 432 undi menentang berbanding 202 undi menyokong - berhubung syarat-syarat perjanjian perpisahan yang beliau persetujui dengan Brussels.
Namun beliau kali ini menang dalam undi tidak yakin parlimen yang pertama dilalui kerajaan Britain sejak 26 tahun lalu pada Rabu dengan jurang undian 325-306. Cik May dengan pantas mempelawa pihak pembangkang untuk merundingkan pelan baru Brexit.
"Kerajaan akan mengadakan perbincangan ini dengan cara yang membina dan saya menggesa pihak-pihak lain untuk melakukan perkara yang sama.
"Namun kita mesti mencari penyelesaian yang boleh dirundingkan dan mendapat sokongan yang mencukupi di Dewan ini," katanya.
Sungguhpun demikian, parti pembangkang - Parti Buruh - mungkin akan cuba untuk menggulingkan kerajaannya sekali lagi dengan harapan untuk mengadakan pilihan raya kilat sebelum tarikh luput Brexit pada 29 Mac.
Cik May sendiri kesuntukan masa sedang Britain bersiap sedia untuk meninggalkan perkumpulan yang selama setengah abad mencorak hubungan ekonomi dan politiknya dengan seluruh dunia.
Beliau berjanji akan kembali ke parlimen pada Isnin dengan strategi alternatif untuk Brexit yang akan dilakarkan berdasarkan rundingan dengan pihak pembangkang.
Cik May turut mempelawa para pemimpin parti untuk mengadakan rundingan dengannya, bermula petang Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.