Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan sementara BN peroleh markah 31%, kajian Merdeka Center

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan sementara BN peroleh markah 31%, kajian Merdeka Center

Gambar: Malaysiakini/Azneal Ishak

KUALA LUMPUR: Kerajaan sementara pimpinan Barisan Nasional (BN) memperoleh markah atau ‘approval rating’ sebanyak 31 peratus selepas pembubaran parlimen, dengan 60 peratus responden menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, menurut kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center.

Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan 1,209 pengundi Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas antara 19 dan 28 Nov, juga menunjukkan kira-kira 72 peratus responden, berasakan Malaysia sedang menuju ke "arah yang salah."

Dalam kenyataannya pada Jumaat (4 Nov), Merdeka Center menyatakan hanya kira-kira 20 peratus daripada mereka yang diselidiki percaya Malaysia kekal di landasan yang betul - pandangan yang didorong oleh kebimbangan terhadap keadaan ekonomi, ketidaktentuan politik yang timbul daripada pilihan raya akan datang dan topik lain seperti rasuah dan isu antara kaum.

“74 peratus pengundi berasakan bahawa ekonomi adalah masalah terbesar negara pada masa ini, tetapi kebimbangan pengundi sendiri terbahagi kepada inflasi (31 peratus), ketidakstabilan politik (13 peratus), rasuah (12 peratus), dan pertumbuhan ekonomi (12 peratus).

“Sementara itu, 'apporoval rating' untuk Perdana Menteri sementara (Ismail Sabri Yaakob) adalah pada 42 peratus,” dedah pertubuhan itu kepada Malaysiakini.

Berhubung topik faktor yang mendorong kepada pilihan mengundi, tinjauan itu mendapati pengundi mengutamakan calon tempatan (31 peratus), diikuti parti (21 peratus), berbanding kepimpinan negara (13 peratus).

Pengundi muda lebih mempertimbangkan faktor kepimpinan nasional (24 peratus) berbanding pengundi lain, katanya.

“Berkenaan dengan ciri-ciri calon, dua ciri yang paling penting ialah seseorang yang ‘mempunyai idea yang baik untuk negara’ pada 27 peratus, ‘bersih dan boleh dipercayai’ pada 24 peratus dan ‘mampu membawa pembangunan ke kawasan’ pada 13 peratus.

"Di sini sekali lagi, pengundi muda lebih menekankan 'bersih dan amanah' pada 34 peratus dan kurang mementingkan keupayaan calon untuk 'membawa pembangunan' yang hanya memperoleh 4 peratus."

Bagi jangkaan jumlah keluar mengundi, tinjauan mendapati terdapat hasrat untuk mengundi yang semakin meningkat.

Dari segi kecenderungan pengundi (sehingga 28 Okt), majoriti responden berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti. Ini diikuti Pakatan Harapan atau PH (26 peratus), BN (24 peratus), dan Perikatan Nasional (13 peratus).

Bagi kecenderungan mengundi mengikut kaum, majoriti pengundi Melayu (32 peratus) cenderung memiih BN, diikuti 29 peratus yang mengatakan tiada kecenderungan atau tidak pasti dalam pilihan mereka.

Kira-kira 20 peratus memilih PN, manakala PH memperoleh hanya kira-kira 13 peratus sokongan.

Justeru, masih terdapat peluang 29 peratus undi pengundi Melayu yang belum membuat keputusan, menurut tinjauan itu.

Bagi responden Cina pula, 47 peratus menyatakan mereka lebih cenderung kepada PH, berbanding 5 peratus memilih BN dan 1 peratus memilih PN. Sebanyak 23 peratus berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan/tidak pasti.

Sementara itu, 51 peratus kaum India yang diselidiki lebih cenderung kepada PH, berbanding BN (32 peratus) dan PN (1 peratus). Kira-kira 8 peratus berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan/tidak pasti.

Mengulas mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya, Merdeka Center menyatakan ia sukar untuk dijangka, memandangkan kehadiran tiga gabungan penting dengan asas sokongan yang besar serta ketidaktentuan mengenai kemungkinan kadar keluar mengundi.

“Pada ketika ini, dengan tahap sokongan pengundi Melayu yang lebih rendah daripada jangkaan terhadap BN, adalah mungkin untuk membayangkan bahawa tidak ada satu gabungan yang akan mencapai pluraliti yang cukup besar untuk membentuk kerajaan dengan hanya satu parti atau gabungan lain.

“Sebaliknya, terdapat kemungkinan yang semakin meningkat bahawa sekurang-kurangnya tiga atau lebih parti/pakatan diperlukan untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan majoriti mudah,” dedah tinjauan itu kepada Malaysiakini.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan