Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan PM Anwar selamat setakat ini; bertahan lebih lama jika dapat pikat undi Melayu, kata KJ

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin masih stabil dan selamat setakat ini tetapi faktor undi Melayu boleh memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan lagi mandatnya.

Pendapat ini disuarakan oleh mantan Menteri Kesihatan Malalysia Khairy Jamaluddin dalam seminar di ISEAS-Institut Yusof Ishak pada Selasa (9 Mei) yang mengupas polarisasi landskap politik Malaysia.

Encik Khairy, yang kini menyandang jawatan sebagai Zamil Pelawat Kanan institut tersebut turut menjelaskan beberapa sebab mengapa dan bagaimana undi Melayu boleh mengukuhkan lagi mandat kerajaan yang dipimpin oleh PM Anwar Ibrahim.

FAKTOR-FAKTOR JANGKA PENDEK

Buat masa ini, Encik Khairy berpendapat bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar dapat bertahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, jika kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan negeri masing-masing.

Menurutnya, undang-undang antilompat parti telah menyulitkan peralihan kesetiaan kepada sesebuah parti lain.

Mentelah lagi, politik di kedua-dua Sabah dan Sarawak memainkan peranan dalam membantu mencapai kestabilan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana terdapatnya sentimen dalam kalangan rakyat yang mungkin menentang usulan untuk menukar kerajaan dek kemelut politik yang berlaku sepanjang lima tahun yang lalu. Lantaran itu, para ahli politik Sabah dan Sarawak tidak mungkin mahu menanggung padah daripada tindakan tersebut.

Encik Khairy turut berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah yang bakal mengakhiri tempoh khidmatnya sudah tentu mahu meninggalkan legasi yang stabil.

Ini lebih-lebih lagi kerana beliau yang melantik Encik Anwar sebagai Perdana Menteri dan juga Kerajaan Perpaduan.

FAKTOR-FAKTOR JANGKA PANJANG

Sungguhpun demikian, mantan Ahli Parlimen Rembau ini percaya bahawa untuk mendapatkan mandat yang kukuh menerusi kemenangan mutlak sama ada dengan PH sahaja atau dengan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat sebelum Pilihan Raya dan bukan selepas itu, Encik Anwar perlu mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Setakat ini, agenda reformasinya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana beliau tidak mempunyai mandat yang kukuh.

Salah satu sebab kepimpinannya terjejas, menurut Encik Khairy, adalah kerana beliau harus mempertimbangkan permintaan dan prinsip UMNO.

Lantaran itu, walaupun sokongan UMNO dan BN kepada kerajaan pimpinannya memainkan peranan penting dalam jangka pendek untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri, hubungannya dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi juga menghambat pelaksanaan visi politik progresif yang beliau inginkan.

Kerjasama Pakatan Harapan dengan UMNO bagaimanapun memainkan peranan penting dalam mewujudkan dan mengukuhkan hubungan Encik Anwar dengan para pengundi Melayu, kerana setakat ini, ia amat sukar untuk Pakatan Harapan, secara sendiri, meraih kemenangan di kawasan-kawasan dengan lebih ramai penduduk Melayu.

Lantaran itu, Encik Khairy berpendapat PM Anwar perlu menimbangkan faktor undi Melayu dalam pelbagai keputusannya agar ia dapat mengukuhkan pemerintahannya.

Dalam seminar anjuran ISEAS-Institut Yusof Ishak ini, pelbagai soalan turut diajukan mengenai masa depan kepimpinan UMNO dan juga masa depan politik Encik Khairy sendiri.

Hampir 200 peserta menghadiri forum yang diadakan secara maya dan fizikal ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan