Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Perpaduan peroleh 54 markah; tahap kepuasan terhadap PM Anwar 68%

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Perpaduan peroleh 54 markah; tahap kepuasan terhadap PM Anwar 68%

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di sebuah sidang media pada 5 Dis 2022. (Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri Malaysia/Afiq Hambali)

KUALA LUMPUR: Lebih dua pertiga rakyat Malaysia memberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim penarafan positif dalam tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Centre selepas bulan kedua beliau menerajui pentadbiran di Putrajaya.

Penarafan itu dicapai atas sokongan 73 peratus masyarakat Cina, 91 peratus etnik India, kira-kira 70 peratus bumiputera di Sabah dan Sarawak dan 60 peratus lagi adalah kaum Melayu, lapor Malaysiakini.

Hanya 20 peratus sahaja yang melaporkan rasa tidak puas hati dengan prestasinya.

Tinjauan yang membabitkan 1,209 responden itu juga menyaksikan 54 peratus berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan, manakala hanya 25 peratus berkata mereka tidak berpuas hati.

Kerajaan persekutuan memperoleh maklum balas positif daripada 67 peratus etnik India, 65 peratus Cina, 42 peratus Bumiputera bukan Islam, 39 Bumiputera Islam dan 48 peratus etnik Melayu di seluruh Malaysia.

Pada masa yang sama, menurut Merdeka Centre, hampir satu perempat daripada responden mengelak daripada memberikan pandangan mereka atau menunjukkan sikap berhati-hati.

Namun di sebalik itu, ramai juga meluahkan keyakinan mereka seperti yang dinyatakan di bawah:

- Seramai 48 peratus rakyat percaya bahawa Malaysia kini menuju ke arah yang betul berbanding dengan hanya 20 peratus semasa kajian yang dijalankan pada Oktober 2022.

- Sebanyak 43 peratus rakyat menyatakan keyakinan tentang ekonomi Malaysia pada tahun akan datang, meningkat daripada 23 peratus pada Oktober 2022.

- Sejumlah 38 peratus pula optimis tentang prospek kewangan peribadi mereka berbanding 26 peratus semasa kajian pada Oktober 2022.

Tinjauan sepanjang tempoh 26 Disember tahun lalu sehingga 15 Januari ini juga mendapati bahawa majoriti besar, iaitu 79 peratus pengundi mengalu-alukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu.

Sebanyak 83 peratus responden berkata mereka menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Encik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sebanyak 77 peratus pula percaya bahawa Kerajaan Perpaduan boleh membawa kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara.

Dapatan lain adalah seperti berikut:

- 75 peratus menerima keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai pembangkang dan

- 66 peratus menerima keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Sumber : Agensi berita/AW/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan