Kerajaan Perpaduan kekal pegang muafakat, tidak akan khianati rakan politik: PM Anwar
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berkata kepimpinan Kerajaan Perpaduan kekal komited mempertahankan muafakat sedia ada dan tidak akan mengambil sebarang langkah yang boleh dianggap mengkhianati rakan-rakan politik dalam gabungan kerajaan.
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berkata kepimpinan Kerajaan Perpaduan kekal komited mempertahankan muafakat sedia ada. (Gambar fail: Bernama)
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata setakat ini, kerajaan kekal kukuh dengan semua pihak terus menghormati persefahaman yang dipersetujui demi memastikan kestabilan politik negara.
“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan malah Jemaah Menteri, dari segi pimpinan yang ada dalam Jemaah Menteri itu tuntas, konsisten menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan harus kukuh,” kata beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di Tokyo, pada Khamis (11 Jun).
Kerajaan Perpaduan, yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain.
Encik Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai khabar angin bahawa beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Bersatu akan menyertai PKR menyusuli perkembangan hubungan politik antara parti itu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada Isnin lalu, Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Dalam pada itu, Encik Anwar berkata pendekatan gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan kekal berteraskan rundingan, perbincangan dan kerjasama yang baik tanpa mengamalkan budaya memutuskan hubungan secara tergesa-gesa.
“Kita dalam politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah... kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik... setakat ini, Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun di peringkat negeri dah ada yang berbeza pendapat sedikit,” kata beliau sambil menambah sebarang keputusan di peringkat negeri adalah tanggungjawab pimpinan masing-masing.
Perdana Menteri juga berkata tumpuan utama kerajaan ketika ini ialah pelaksanaan agenda pembangunan negara termasuk komitmen antarabangsa dan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi.
Beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat ASEAN-Rusia di Kazan minggu depan sebelum ke Turkmenistan bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor tenaga khususnya berkaitan potensi sumber gas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.