Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan perpaduan huraian terbaik bagi UMNO terus bertakat: Ahmad Zahid Hamidi

Penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim adalah huraian terbaik demi mengelakkan daripada perpecahan dalaman parti UMNO.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan perpaduan huraian terbaik bagi UMNO terus bertakat: Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 13 Januari 2023. (Gambar: BERNAMA)

BERITAmediacorp: Penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim adalah huraian terbaik demi mengelakkan daripada perpecahan dalaman parti UMNO.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika menggulung ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu (14 Jan).

Lantaran itu, beliau menggesa  ahli UMNO agar bersiap sedia bagi meningkatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dijalankan tahun ini.

"Dengan sebab itu, Kerajaan Perpaduan adalah penyelesaian atau huraian terbaik untuk parti bagi mengelakkan parti sekali lagi diratah perpaduannya.

"Dengan itu juga, kita mampu menghadapi PRN negeri-negeri dengan gagah dan kuat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah," ujar Encik Ahmad Zahid.

PRESIDEN & TIMBALAN PRESIDEN MINTA RUANG, PELUANG

Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia membuat ucapan  itu selepas kedudukannya dalam UMNO kekal teguh.

Ini selepas para perwakilan UMNO menyokong usul agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini. 

Keputusan itu bermakna Encik Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan, dua watak utama yang merealisasikan kerjasama dengan PH, akan terus memimpin UMNO hingga penggal seterusnya.

Ucapan Encik Ahmad Zahid itu turut disokong Encik Mohamad Hasan.

Menurut Encik Mohamad Hasan, peluang dan ruang perlu diberikan sekarang kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memastikan penakatan parti.

Beliau memberi jaminan bahawa penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukanlah untuk menyertai PH tetapi demi memastikan kesusahan dialami rakyat Malaysia sekarang dapat diatasi.

Dalam ucapannya, Encik Mohamad Hasan berkata: "Bagi parti peluang untuk meneroka dinamik politik semasa untuk kita memastikan supaya yang penting penakatan parti ini menjadi keutamaan kita. 

"Agar apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti semata-mata untuk memastikan kita memulakan langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16. Itu penting."

PAU 2022 YANG PENUH DRAMA; ADA TIDAK PUAS HATI

Sejak mengalami kekalahan paling teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), desakan semakin lantang supaya Encik Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Malah, semasa PAU 2022 beberapa nama besar dalam UMNO sudah meluahkan hasrat untuk mencabar jawatan Encik Ahmad Zahid dan Encik Mohamad Hasan.

Antara mereka ialah mantan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Maka tidak hairanlah, keputusan untuk tidak membukakan dua jawatan tertinggi UMNO dicabar menerima tentangan hebat daripada sekumpulan ahli UMNO.

Dalam satu sidang media berasingan, mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh mengambil tindakan lanjut dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Ada juga pandangan yang berbeza yang mengatakan dari segi PAU ini walaupun ianya merupakan satu wadah yang tertinggi di dalam parti yang boleh membuat sebarang keputusan, tetapi ianya mesti tertakluk kepada perlembagaan parti.

"Dari segi itu, saya rasa ROS boleh dirujuk untuk mendapatkan pandangan ROS sama ada boleh atau sah dari segi keputusan," katanya

PAU 2022 YANG PENUH DRAMA; ADA "PERWAKILAN HANTU"

Dalam pada itu, Encik Khairy yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau mendakwa terdapat berlakunya 'Langkah Dewan Merdeka' bagi memastikan usulan tersebut menerima lebih banyak sokongan.

Dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok beliau, Encik Khairy mendakwa aturan tempat duduk perwakilan diubah demi membawa masuk "perwakilan hantu" secara haram.

Beliau berkata: "Petang nanti akan ada undian bagi usulan tambahan dan saya difahamkan ada langkah untuk memastikan ia diluluskan.

"Malah, petanda pada kerusi-kerusi dalam Dewan Merdeka dibuka untuk membenarkan 'perwakilan hantu' ini untuk memasuki dan menyokong usulan tersebut."

Beliau turut mempersoalkan Encik Mohamad Hasan yang sebelum ini dianggap ramai sebagai mentor kepada Encik Khairy.

"Apa yang nak jadi kepada anda, Tok Mat Hasan? Jika anda mahu membentangkan usulan itupun, janganlah membuatnya secara terang-terangan," kata Encik Khairy.

Lebih merumitkan lagi, usulan tersebut disarankan Ketua Perwakilan Negeri Sembilan iaitu negeri asal kedua-dua tokoh UMNO itu.

Encik Khairy juga memuat naik satu video dalam akaun Instagram beliau yang menurutnya  diambil semasa "perwakilan-perwakilan import"  sedang diberi taklimat sebelum memasuki Dewan Merdeka.

Berhubung dakwaan tersebut, Encik Ahmad Zahid membidas  berlakunya 'Langkah Dewan Merdeka'.

Beliau menambah tindakan Encik Khairy itu akan dibincangkan lembaga disiplin UMNO serta jawatankuasa pengurusan parti.

Pemilihan bagi jawatan dalam UMNO perlu diadakan menjelang 19 Mei atau enam bulan selepas PRU15.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan