Skip to main content

Dunia

Kerajaan Perpaduan berjaya hurai sebahagian besar kandungan perjanjian Sabah, Sarawak

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Perpaduan berjaya hurai sebahagian besar kandungan perjanjian Sabah, Sarawak

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (dua, kiri) dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) bergambar bersama Kaligrafi Reformasi dan Kaligrafi Malaysia Madani pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 22 Jan 2023. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Jan 2023 07:20PM Dikemas Kini : 22 Jan 2023 07:22PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu agihan perbelanjaan tahunan serta pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), merupakan antara perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berjaya diselesaikan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Encik Anwar, kerajaan juga bersetuju memulangkan kuasa untuk pelaksanaan perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur awam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri masing-masing.

Beliau berkata selain itu Kerajaan Persekutuan juga akan membiayai projek pembinaan infrastruktur awam di Sabah dan Sarawak, dengan keseluruhan peruntukan diagihkan kepada kerajaan negeri secara bersyarat, iaitu perlu melalui pengawasan dan peraturan kewangan ketat serta dipantau oleh Kementerian Kewangan.

"Sebagai contoh peruntukan tahunan misalnya, Sarawak selama ini hanya menerima RM16 juta (S$5 juta) dan jumlah berkenaan dianggap tak munasabah bagi mereka.

"Oleh itu, kita buat format dan peraturan bagi meningkatkan peruntukan berkenaan kepada RM300 juta (S$92 juta) setahun, tertakluk kepada beberapa perincian perjanjian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di bangunan KLSCAH hari ini.

Encik Anwar berkata hal tersebut penting untuk diselesaikan bagi membuktikan yang Kerajaan Perpaduan serius menunaikan janji dimeterai dalam MA63.

Awal dari itu, Encik Anwar dalam ucapannya di majlis itu menegaskan bahawa sebahagian besar peruntukan dalam perjanjian MA63 yang berlarutan lebih 60 tahun, berjaya diselesaikan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang disertai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak pada Jumaat lalu.

Perdana Menteri itu berkata ia berjaya diselesaikan menerusi sokongan dan semangat perpaduan semua gabungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan kejayaan menyelesaikan sebahagian besar perkara utama dalam MA63 itu turut didorong oleh ketegasan dan keikhlasan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu berkenaan.
Sumber : Bernama/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita