Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Perpaduan beri jaminan selesaikan isu air di Kedah jika diberi mandat dalam PRN, kata Ahmad Zahid

Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Kedah sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Kedah sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita tahu masalah air tidak selesai… kita tidak mahu air ‘teh susu’ di Kelantan dah jadi ‘kopi susu’, betul? Kita tidak mahu Kedah pun jadi kopi susu. Berapa banyak (kawasan) di Kedah ini (pada) waktu raya ini tak cukup air? Betul?

"Insya-Allah, kalau kerajaan (negeri) ini di bawah Kerajaan Perpaduan, masalah air Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan selesaikan… sebab Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Kalau beliau lupa, saya akan ingatkan tolong rakyat Kedah," katanya ketika menyampaikan pidato di Himpunan MADANI Kedah 2023 di Dataran Stargate, di Alor Setar pada Jumaat malam (28 Apr).

Selain Perdana Menteri, turut hadir ialah beberapa Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub serta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, Encik Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kementeriannya akan membantu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam usaha memajukan semula Kedah.

"Begitu juga masalah perumahan dan tanah di Kedah, saya tahu masalah ini. Insya-Allah, Datuk Seri Anwar bagi tanggungjawab kepada saya (untuk) jaga kampung, jaga desa, saya tidak akan pernah untuk tidak melaksanakan amanah ini.

"Insya-Allah, kementerian ini (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) akan membantu orang kampung sama ada orang Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli untuk kepentingan negeri Kedah dan untuk kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Encik Ahmad Zahid berkata kombinasi baik yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) perlu dipertahankan demi kestabilan politik.

Dalam pada itu, sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, beliau turut mengulangi pendirian parti untuk terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri meskipun terdapat pelbagai cabaran.  
 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan