Kerajaan Pahang sedia kosongkan kebun haram Musang King
Kerajaan Negeri Pahang akan memulakan operasi penguatkuasaan berhubung isu pencerobohan tanah yang ditanam dengan durian Musang King sekitar Daerah Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
(Gambar: Monica Kotwani)
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan memulakan operasi penguatkuasaan berhubung isu pencerobohan tanah yang ditanam dengan durian Musang King sekitar Daerah Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata operasi itu yang akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang kini boleh dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu (23 Dis), menolak permohonan 204 pekebun terlibat untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah terbabit.
"Saya bersyukur dan berterima kasih dengan keputusan mahkamah hari ini dan insya-Allah, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada mereka yang meneroka tanah secara haram.
Kita sudah memberikan masa selama hampir setahun, yang mana saya kira ia sudah mencukupi untuk mereka sebelum tindakan diambil," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang di sini, pada Rabu.
Encik Wan Rosdy berkata operasi penguatkuasaan itu dibuat untuk kepentingan alam sekitar, seperti yang dilakukan di dua lokasi di Cameron Highlands, iaitu Sungai Ichat dan Lembah Bertam.
Ketegasan kerajaan negeri dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Ichat, menurut Encik Wan Rosdy walaupun mendapat tentangan segelintir pihak, akhirnya membuahkan hasil apabila sungai yang tercemar teruk kembali ke Kelas 1 dan selamat diminum.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman itu selepas memutuskan 204 pekebun tersebut tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan berkenaan ekoran kedudukan mereka sebagai penceroboh di tanah yang diteroka.
Selain itu, Hakim Zainal Azman juga memutuskan bahawa notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah terlibat bukan satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Dalam kes ini, semua 204 pekebun itu memfailkan permohonan berkenaan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.