Kerajaan New Zealand tambah dana banteras kandungan ekstremis dalam talian
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengumumkan tambahan dana dan sokongan bagi menyasarkan kandungan ekstremis dalam talian, beberapa bulan selepas seorang pengganas kulit putih menyiarkan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch pada Mac lalu.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern. (Gambar: Stephanie Keith/AFP)
WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengumumkan tambahan dana dan sokongan bagi menyasarkan kandungan ekstremis dalam talian, beberapa bulan selepas seorang pengganas kulit putih menyiarkan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch pada Mac lalu.
Serangan pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 51 jemaah disiarkan secara langsung di Facebook dan video itu dikongsi di Twitter, YouTube dan aplikasi Whatsapp serta Instagram.
Cik Ardern berkata, kerajaan melabur NZ$17 juta (S$14.7 juta) dalam tempoh empat tahun untuk meningkatkan keupayaan New Zealand bagi memburu, menghentikan dan menghapuskan kandungan pengganas serta pelampau dalam talian dengan segera.
Katanya lagi, pelaburan itu akan digunakan untuk menggandakan tugas siasatan, forensik, perisikan dan pencegahan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Kerajaan menyatakan pasukan baru dianggotai 17 orang akan menumpukan usaha memerangi kandungan sebegitu.
Tambahnya, kuasa jabatan baru itu termasuk menyiasat dan mendakwa individu yang melakukan kesalahan menerusi kedua-dua pengesanan proaktif serta kerjasama antara rakan antarabangsa dan domestik.
“Dunia dalam talian seharusnya menjadi kuasa untuk kebaikan di mana kita boleh bertukar idea, berkongsi teknologi dan mengekalkan kebebasan awam sambil melindungi rakyat New Zealand daripada kandungan yang menjelikkan.
“Menentang keganasan pelampau dalam talian adalah bahagian terpenting kami sebagai maklum balas terhadap serangan pengganas 15 Mac lalu,” kata Cik Ardern dalam satu kenyataan.
Syarikat gergasi teknologi Silicon Valley dan pemimpin dunia meluluskan gerakan oleh Cik Ardern yang digelar sebagai ‘Chrischurch Call’ dan bertujuan mewujudkan etika standard buat syarikat teknologi mahupun media untuk mengelak daripada memperhebat kandungan keganasan pelampau dalam talian.
Komitmen mereka diuji minggu lalu ketika firma media sosial berusaha memadam rakaman kejadian tembakan di luar rumah ibadat Jerman yang disiarkan secara langsung di platform video Amazon, Twitch.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.