Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan negeri & Persekutuan M'sia setuju perkukuh sinergi, perkasa sekuriti bekalan makanan negara

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan PersekutuanMalaysia dalam memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara.

Menurut Perdana Menteri negara itu, Ismail Sabri Yaakob, Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah diwujudkan bagi menjalinkan sinergi dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025, lapor Astro AWANI.

"Pada hari ini (28 Jun), saya sudah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

"Mesyuarat pada kali ini memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Selasa (28 Jun).

Menerusi jawatankuasa itu jelas Encik Ismail Sabri, beberapa inisiatif turut dipersetujui antara dua pihak merangkumi pemerkasaan tanah pertanian dan rizab bagi menangani isu krisis makanan.

"Meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

"Memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

"Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL)," jelas beliau.

Kerajaan negeri tambahnya, juga bersetuju untuk mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi.
Manakala bagi pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pula, akan dibangunkan dan dimajukan bagi yang terbengkalai.

"Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

"Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain," kata beliau lagi.

Bagi memastikan pengurusan lebih berkesan, katanya Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian peringkat daerah turut ditubuhkan, lapor Astro AWANI.

Ia bagi memudahkan proses membangunkan tanah pertanian milik persendirian, sekali gus memberi sumbangan kepada sekuriti makanan negara.

Bagi sektor agromakanan pula, jelas Perdana Menteri, kerajaan akan menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah.

"Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan. Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut.

"Sementara itu, mesyuarat ini juga sudah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di peringkat negeri," jelasnya lagi.

Penubuhan jawatankuasa itu kata Encik Ismail Sabri lagi, adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj bagi pembangunan infrastruktur komunikasi seluruh negara.

"Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

"Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar," ujar Encik Ismail Sabri lagi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan