Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia tidak rancang perkenal semula GST dalam tempoh 6 bulan seterusnya, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia tidak rancang perkenal semula GST dalam tempoh 6 bulan seterusnya, kata PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di Dewan Parlimen di Kuala Lumpur pada 14 Mac 2023. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak memperkenalkan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini.

Kerajaan yakin hasil yang bakal dikutip dan penguatkuasaan kutipan yang cekap mampu menambah pendapatan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ini berikutan pendapatan rakyat yang masih rendah berbanding negara-negara yang mengguna pakai sistem GST seperti Singapura dan Kanada.

‘’Kita belum bersedia kerana pendapatan rakyat masih rendah. Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau satu tahun pun kita tidak akan pertimbangkan,’’ kata Encik Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) di Dewan Rakyat hari ini (14 Mac) tentang sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pengenalan semula GST selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Encik Anwar menarik perhatian bahawa masih terdapat 130,000 golongan miskin tegar di Malaysia di samping kumpulan B40 yang semakin meningkat.

Justeru, Perdana Menteri itu yakin kecekapan penguatkuasaan kutipan cukai dan pengenalan cukai-cukai baru dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

Menurut Encik Anwar, Malaysia akan memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai barangan mewah seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2023.

Beliau berkata adalah memadai untuk memperoleh pertambahan hasil daripada cukai-cukai ini selain langkah tegas mengelakkan kebocoran cukai dan memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan serta mengelak daripada membayar cukai.

‘’Jadi saya bagi tahu, kita jangan bertolak ansur dalam memastikan mereka (golongan yang mengelak cukai) juga membayar cukai dan jangan melarikan wang mereka ke luar negara. Sebab itu saya mahu supaya semua siasatan dilakukan termasuk Pandora Papers. Kalau kamu tipu atau curi wang negara (pelari cukai), bayar balik,’’ jelasnya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan