Kerajaan M'sia tidak akan bertolak ansur dengan pihak mainkan isu perkauman, agama

(Gambar fail: BERNAMA)
BANTING: Kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang berterusan memainkan isu perkauman dan agama.
Justeru, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan akan terus menunjangi soal berkaitan Islam dan bangsa Melayu tanpa mengetepikan agama serta bangsa lain.
“Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan dan tidak cair keimanan kita kalau kita menyantuni bangsa serta agama lain,” katanya semasa merasmikan majlis anugerah sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-42 dan 43 pada Sabtu malam (27 Mei).
Encik Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk dan kemajmukan itu harus disantuni demi mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat.
“Begitu juga soal kestabilan politik, bukan hanya semata-mata kerana agenda tetapi untuk pembangunan negara bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.
Beliau juga berkata kepimpinan baru belia, khususnya Gerakan Belia 4B Malaysia, harus melihat tiga unsur yang turut ditawarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam memastikan mereka bukan hanya berkhidmat untuk ahli semata-mata, malah untuk seluruh masyarakat.
Tambahnya, unsur yang ditawarkan itu adalah penglibatan ahli serta masyarakat, khususnya belia dalam sektor ekonomi, bagi menaik taraf kehidupan, keterlibatan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta skim rangsangan untuk menaikkan profesion pelajar tahfiz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran.
“Pertamanya, pertubuhan yang kita ketuai perlu melihat kepada aspek keterlibatan ahli dalam sektor ekonomi khususnya dan menaik taraf status sistem mesti dilakukan… menerusi program keusahawan (yang ditawarkan kementerian).
“Kementerian juga tawarkan sebanyak 529 kursus menerusi program TVET yang pelbagai agar dimanfaatkan bukan sahaja untuk ahli tetapi juga pemimpin pertubuhan belia,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.