Kerajaan M'sia setuju benarkan sementara import telur ayam dari sumber luar
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS) bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam dari sumber luar dan kebenaran berkenaan akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (16 Dis), MAFS memaklumkan, bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lepas, pihaknya pada Jumaat membenarkan kemasukan telur ayam dari India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.
"Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.
"Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas daripada segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi," menurut kenyataan itu.
Menurut MAFS, hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas daripada segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.
“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Isu harga dan ketiadaan telur di pasaran telah menjadi isu yang dihadapi oleh rakyat negara ini.
Pada Khamis (15 Dis), Bernama melaporkan bekalan telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga, mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalannya ketika ini.
Pada 6 Disember lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.