Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia rancang gubal akta cegah 'ulat tiket'

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia rancang gubal akta cegah 'ulat tiket'

(Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia)

Diterbitkan : 23 May 2023 03:50PM Dikemas Kini : 23 May 2023 04:19PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bercadang untuk menggubal rang undang-undang baru untuk mengekang dan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertindak sebagai 'ulat tiket', lapor Malaysiakini. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub dan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata kedua-dua kementerian sedang meneliti semua aspek sebelum mencadangkan penggubalan undang-undang baru itu.

"Saya telah berbincang dengan Salahuddin dan memang pada waktu ini di Malaysia, kita belum ada undang-undang yang bersifat anti ulat tiket.

"Oleh sebab itu, kita akan teliti bersama dengan kementerian-kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti program yang ada aspek penjualan tiket sama ada secara online atau pun tidak dan melihat apa peruntukan undang-undang yang perlu diwujudkan untuk mengelak masalah 'scalping' atau ulat tiket ini daripada berulang di masa depan," kata Encik Fahmi kepada para pemberita di Parlimen pada Selasa (23 Mei). 

Beliau berkata demikian menyusuli rungutan orang ramai yang sukar mendapatkan tiket akibat ‘ulat tiket’ yang membeli dengan kuantiti banyak bagi konsert Coldplay di Malaysia pada November.

Mereka juga berkata bahawa cadangan kerajaan untuk mewujudkan akta itu akan memberi fokus kepada semua aktiviti lain yang melibatkan penjualan tiket secara besar-besaran. 

"Kita juga maklum ada sesetengah negara lain yang mengalami insiden-insiden sama seperti di Amerika Syarikat dan Australia.

"Maka mereka juga mewujudkan undang-undang di negara masing-masing. Kita akan teliti kesesuaian dan pengalaman mereka sama ada langkah itu berjaya atau tidak," kata Encik Fahmi kepada Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita