Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia mohon maaf atas gangguan perkhidmatan LRT

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia mohon maaf atas gangguan perkhidmatan LRT

Menteri Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong (Gambar fail: BERNAMA)

KLUANG: Kerajaan Malaysia pada Rabu (9 Nov) memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak Selasa (8 Nov), susuli kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata walaupun syarikat pengendali LRT iaitu Prasarana Malaysia Bhd merupakan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan yang diperbadankan, tetapi sebagai sebahagian daripada kerajaan, beliau tetap perlu bertanggungjawab.

“Selaku menteri, ini adalah isu berhubung pengoperasian yang memerlukan saya mendengar pandangan dan dapatan daripada pihak Prasarana.

“Saya minta Prasarana untuk maklumkan kepada masyarakat sekurang-kurangnya tiga jam sekali berkenaan maklumat terkini gangguan LRT tersebut supaya mereka (pengguna) tahu keadaan semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Dewan Terbuka Taman Suria Ros pada Rabu (9 Nov). 

Mengulas lanjut, Encik Wee berkata selain bantuan daripada pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dijangka tiba pada Khamis (10 Nov), pakar dari Istanbul, Turkiye dan Toronto, Kanada, juga akan diterbangkan bagi mencari punca utama kegagalan ATC.

“Dalam masa sehari atau dua ini, para pakarperlu mencari punca kerana ia melibatkan masalah teknikal dan mungkin juga perlu melihat aspek yang lain,” kata beliau.

Encik Wee juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Isham Ishak, Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) dan juga Prasarana untuk mencari satu formula dan penyelesaian yang terbaik terhadap masalah itu.

“Sudah sampai masanya untuk Prasana melihat kepada penjadualan untuk kerja penyenggaraan secara berkala dan mereka perlu mengubah kepada sistem yang lebih dinamik dan mengutamakan keselamatan,” kata beliau.

Pada Selasa (8 Nov), pengendali LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu (5 Nov) dan Isnin (7 Nov). 

Perkhidmatan LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula pukul 6.00 pagi Rabu (9 Nov) selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Bagaimanapun perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita