Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia jamin bekalan ayam, telur cukup sepanjang Ramadan hingga jelang Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia jamin bekalan ayam, telur cukup sepanjang Ramadan hingga jelang Aidilfitri

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 Mar 2023 02:19PM

PUTRAJAYA: Bekalan ayam dan telur ayam dijamin mencukupi sepanjang Ramadan sehingga menjelang perayaan Aidilfitri, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN).

KPDN dalam kenyataan pada Jumaat (31 Mac), memaklumkan pengeluar ayam dan telur ayam menerusi Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi.

KPDN juga mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta pihak pengeluar yang diwakili FLFAM bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik, katanya.

"Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam negara dengan menyalurkan segera bekalan ke mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan," katanya.

Menurut kenyataan KPDN itu, berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bagi tempoh 5 Feb 2022 hingga 30 Mac 2023, kementerian melakukan 183,047 pemeriksaan di seluruh negara dan menghasilkan 2,711 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM482,400 (S$145,321). 

Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain, menurutnya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita