Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia jamin Bajet 2023 tidak pinggir usaha perkasa masyarakat Cina

Anggaran Waktu Membaca:
SEREMBAN: Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan Malaysia tidak akan meminggirkan usaha memperkasakan masyarakat Cina sama ada di bandar dan luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober di Dewan Rakyat. 

Perdana Menteri itu berkata kerajaan akan memastikan Bajet 2023 yang disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

“Bajet 2023 juga akan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun depan," katanya dalam ucapan sempena majlis penutup Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 2022, di Seremban pada Ahad (18 Sep).

Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan merupakan program tahunan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang warisan dan budaya Cina, namun, ia tidak dapat diadakan sejak dua tahun lepas berikutan penularan pandemik COVID-19.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Aminuddin Harun, Duta Besar China di Malaysia, Ouyang Yujing dan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Dr Goh Tian Chuan.

Selain itu, Encik Ismail Sabri berkata kerajaan amat prihatin dengan kesulitan dihadapi Keluarga Malaysia dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung khususnya berkaitan kenaikan harga barangan keperluan. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menggalakkan penganjuran program kebudayaan pelbagai bangsa di negara ini termasuk kebudayaan kaum Cina. 

Menurutnya, kerencaman identiti dan budaya yang ada dalam kalangan masyarakat Malaysia sewajarnya merapatkan hubungan antara kaum supaya boleh mempelajari falsafah setiap budaya yang berbeza. 

Justeru, beliau menggalakkan Huazong meneruskan usaha termasuk penganjuran program kebudayaan pada masa akan datang.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong program-program anjuran agensi kerajaan demi mengukuhkan perpaduan Keluarga Malaysia," katanya.  

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri berkata kerajaan melaksanakan langkah bagi menjadikan Malaysia negara maju dan berbudaya melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021. 

Katanya, DAKEN berperanan memartabatkan dan memelihara seni, budaya dan warisan Keluarga Malaysia agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan rangka tindakan, KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan pada 28 Nov lalu.

“Di bawah pelan ini, konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan melalui aktiviti dan program yang berteraskan perpaduan,” katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan