Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia hulur bantuan RM1,000 & RM5,000 kepada mangsa banjir

Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 (S$323) kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia hulur bantuan RM1,000 & RM5,000 kepada mangsa banjir

Orang awam menaiki bot untuk membantu mangsa terkandas akibat banjir kilat di sekitar Sri Muda. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 (S$323) kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir di negara itu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Aminuddin Hashim dalam sidang media yang diadakan di Shah Alam hari ini (23 Dis).

“Bantuan ini akan kita segerakan agar dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana banjir ini.

"Bantuan Wang Ihsan juga terbahagi kepada dua jenis iaitu bantuan RM1,000 kepada semua ketua isi rumah.

"Kerajaan juga amat simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan orang-orang yang tersayang, justeru kerajaan juga bersetuju untuk memberikan RM5,000 (S$1,616) bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang meninggal dunia,” katanya, seperti dinukil Astro AWANI.

Mangsa banjir yang merupakan rakyat Malaysia dan terbukti memiliki premis yang musnah akibat banjir layak menerima bantuan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mangsa wajib mendaftarkan maklumat lengkap dengan menggunakan nama ketua isi rumah masing-masing.

Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ataupun menumpang di kediaman orang lain pula, mereka masih layak untuk bantuan itu.

Namun mereka perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ataupun dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ataupun ketua kampung selain penghulu kampung masing-masing.

“Maksudnya di sini sekiranya tidak mempunyai kad pengenalan kita faham...memadai sekadar mereka merujuk kepada ketua komuniti (JKKK), penghulu dan sebagainya. Itu sudah cukup.

“Oleh yang demikian kerajaan melalui NADMA dan juga Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) telah mengambil langkah-langkah berikut untuk memudahkan proses permohonan dengan terus menggunakan pendaftaran di PPS sebagai bukti mangsa terjejas dengan bencana tanpa perlu membuat permohonan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan Malaysia akan mempercepatkan proses menyalurkan peruntukan bantuan kepada kerajaan negeri-negeri yang terlibat mulai esok (24 Dis).

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan