Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia diminta bantu tangani kenaikan harga pakej umrah

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia diminta bantu tangani kenaikan harga pakej umrah

(Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia diminta mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mencari kaedah mengurangkan harga pakej umrah yang kini semakin meningkat sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Pengerusi Eksekutif Omrah Travel Sdn Bhd Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata perbincangan itu juga bagi mengenal pasti secara lebih terperinci faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga pakej serta bagaimana untuk mengurangkan harga yang ditawarkan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mungkin boleh mainkan peranan menerusi perjumpaan dengan persatuan agensi pelancongan untuk bincang sejauh mana kadar peningkatan dan apa kerajaan boleh bantu supaya rakyat tidak sepenuhnya menyalahkan agensi pelancongan.

“Saya rasa kerajaan mungkin boleh berikan subsidi bagi mereka yang menggunakan hotel milik kerajaan di sana supaya bebanan tekanan kenaikan harga itu dapat dikurangkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Kenaikan Kos Haji Dan Umrah 1444h’ terbitan Bernama TV pada Rabu (25 Jan).

Mengulas lanjut, Encik Ahmad Tajuddin berkata terdapat tiga faktor yang mempengaruhi kenaikan harga pakej umrah iaitu kadar tukaran mata wang negara lebih rendah berbanding riyal, permintaan tinggi dan usaha memulihkan kembali perniagaan oleh pemain industri.  

“Betul memang berlaku kenaikan harga mengerjakan umrah setelah dua tahun umat Islam seluruh dunia tidak dapat keluar hingga menyebabkan permintaan lebih tinggi daripada penawaran dengan kekurangan penerbangan dan mungkin hotel tidak cukup memandangkan banyak hotel di sana sedang dibaik pulih.

“Selain itu, mungkin ada pemain industri yang mengambil peluang menaikkan harga untuk memulihkan kembali kunci kira-kira perniagaan mereka selepas dua tahun beku disebabkan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perubahan harga pakej di saat akhir yang turut membebankan bakal jemaah umrah mungkin berlaku disebabkan tiada hitam putih dalam perjanjian antara agensi pelancongan tempatan dengan penyedia perkhidmatan di Tanah Suci. 

“Sekiranya ada hitam putih (dalam) perjanjian, sebarang isu berkaitan kenaikan secara tiba-tiba boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa (di Malaysia)…dan saya rasa pihak hotel di sana juga tidak berani langgar undang-undang dengan menaikkan harga hotel sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi di Malaysia, Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya, yang turut menjadi tetamu dalam program tersebut, berkata isu kenaikan harga pakej ibadah umrah bukan hanya di Malaysia tetapi merupakan krisis di seluruh dunia yang terlibat dalam industri berkenaan.

“Pada asasnya, ia berlaku hampir di seluruh negara Islam atau negara terlibat dalam industri haji dan umrah, contohnya Singapura, Indonesia serta Thailand yang turut mengakui perkara sama...pemain industri berkejar-kejar untuk dapatkan tempahan hotel yang dikatakan sangat ‘keras’ (tempahan tinggi) selepas musim haji tahun lepas,” ulasnya.

Syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi dipertanggungjawab bagi menguruskan program badal haji dan umrah.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan