Kerajaan M'sia biayai RM93 juta bagi pelaksanaan Tol Rahmah sempena Aidilfitri

(Gambar: BERNAMA)
KUCHING: Kerajaan Malaysia menanggung kira-kira RM93 juta (S$27.9 juta) bagi pemberian Tol Rahmah percuma kepada pengguna lebuh raya selama empat hari yang bermula pada Rabu (19 Apr), kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.
Beliau berkata pemberian tol percuma mulai Rabu hingga Jumaat (21 Apr) dan juga pada Isnin (24 Apr) membabitkan 33 lebuh raya utama negara adalah satu daripada aspirasi Madani untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Menurut Encik Ahmad, jumlah itu adalah anggaran awal oleh Pejabat Belanjawan Negara untuk dibayar kepada konsesi yang terlibat.
"Anggaplah itu (pemberian Tol Rahmah) sebagai duit raya, ini sebahagian daripada duit rakyat juga yang kita berikan semula kepada rakyat bagi memberikan peluang kepada pengguna lebuh raya balik ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Penyerahan Sumbangan 2023 yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak Vijayen Nagalingham di Kuching pada Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.