Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia akan kaji semula harga bumbung ayam

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Penetapan harga bumbung RM9.40 (S$2.87) sekilogram bagi ayam standard di pasaran Malaysia akan dikaji semula bagi memastikan rakyat mendapat sumber protein itu pada harga yang lebih stabil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub berkata berikutan bekalan ayam di pasaran sudah pulih, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan para pemain industri untuk menentukan harga bumbung baru dalam masa terdekat.

“Harga bumbung setakat ini kita kekal RM9.40 (S$2.87) sekilogram tetapi saya lihat di seluruh negara pada hari ini syarikat-syarikat bermurah hati untuk menjual di bawah harga bumbung, ada yang jual RM7.90 (S$2.41) sekilogram, ada jual RM8.90 (S$2.71) sekilogram.

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana insentif mereka ini memberikan banyak ruang kepada rakyat untuk mendapatkan harga yang lebih murah,” katanya kepada para pemberita selepas melawat sebuah pusat penjualan ayam di Alor Setar pada Jumaat (13 Jan). 

Ditanya sama ada harga bumbung baru itu nanti akan lebih murah berbanding harga bumbung semasa atau sebaliknya, Encik Salahuddin berkata perkara itu akan ditentukan kemudian dan berharap rundingan baik dapat diadakan dengan para pemain industri.

Encik Salahuddin berkata selain mengadakan perbincangan dengan pembekal dan penjual ayam, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri itu bagi mendapatkan perincian berhubung isu bekalan ayam di pasaran.

Beliau berkata pertemuan itu diharap dapat mengenal pasti punca kepada masalah yang berlaku dan mencari penyelesaian supaya rantaian bekalan di pasaran dapat diperbaiki.

“Ada empat syarikat besar yang saya akan umumkan nanti, saya akan meneruskan libat urus ini terus kepada mereka, kepada punca dari mana masalah ini berlaku.

“Jadi tunggu dulu, biar saya dapatkan fakta-fakta yang lebih lengkap daripada kementerian (KPDN), daripada MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Kementerian Ekonomi dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri),” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru para peruncit khususnya di kawasan luar bandar supaya mendaftar dengan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) yang diwujudkan oleh kementeriannya bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi secara terus daripada pembekal.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan