Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN tarik sokongan terhadap Ketua Menteri
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN yang menarik sokongan daripada kerajaan negeri iaitu Sungai Udang, Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan. (Gambar: Agensi berita)
MELAKA: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Perkembangan mutakhir ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.
Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Dewan Undangan Negeri mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2) , Amanah (2) dan Bebas (1).
Bercakap pada sidang media di sebuah hotel di sini, Idris yang mewakili keempat-empat ADUN itu berkata kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri hari ini (4 Okt).
“Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri hari ini.
“Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini (baru) untuk ditubuhkan,” katanya.
Bekas ketua menteri itu berkata tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang 'flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.
"Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keempat-empat mereka bersedia berdepan dengan segala kemungkinan akibat tindakan yang dilakukan hari ini.
"Kami meletakkan kepentingan rakyat. Jadi kami serah kepada parti dan tunggu dipanggil Lembaga Disiplin UMNO kerana saya dan Nor Azman masih lagi ahli UMNO," kata Idris.
Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang pada Mac tahun lepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.