Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia tanggung subsidi bahan api RM3.2 bilion sebulan bagi rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia tanggung subsidi bahan api RM3.2 bilion sebulan bagi rakyat
Diterbitkan : 13 Mar 2026 10:42PM Dikemas Kini : 13 Mar 2026 10:43PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat, kata Menteri Kewangan II Malaysia, Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion (S$650.4 juta) manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion (S$390.2 juta) sebulan berbanding RM700 juta (S$227.6 juta) sebelum ini.

“Walaupun Kerajaan MADANI menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan dapat mengekalkan pemberian inisiatif BUDI95. Ini memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat.

“Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita telah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI memerintah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat (13 Mac).

Pada masa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.12 peratus kepada AS$100.60 (S$128.65) setong.

Encik Amir Hamzah juga berkata tempoh konflik di Timur Tengah masih tidak dapat dipastikan dan kerajaan perlu meneliti langkah ke hadapan yang boleh diambil bagi mengurangkan beban rakyat.

Beliau berkata dalam keadaan global yang tidak menentu, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah sendiri bagi menguruskan keadaan tersebut.

“Sebagai contoh, cadangan Perdana Menteri supaya agensi kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri merupakan antara langkah penjimatan yang dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, PM Anwar berkata mesyuarat khas Jemaah Menteri diadakan untuk meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran menyusuli konflik di Timur Tengah.

Konflik di Timur Tengah bermula pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudian dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan Amerika Syarikat serta sekutunya di rantau itu.

Ketegangan tersebut turut menjejas pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas menyusuli ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan itu.

Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bekalan tenaga global.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita