Kerajaan Malaysia setuju mansuh hukuman mati mandatori
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junadi Tuanku Jaafar.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (10 Jun), Menteri Undang-Undang itu berkata hukuman mati akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu capai menyusuli pembentangan laporan kajian mengenai hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori semasa mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.
"Kabinet bersetuju bahawa penelitian dan kajian lanjut harus dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan 22 kesalahan yang membawa hukuman gantung tetapi dengan budi bicara mahkamah," menurut kenyataan tersebut.
Jenayah yang dikenakan hukuman mati di Malaysia termasuk membunuh, mengedar dadah, melakukan pengganasan, menculik dan memiliki senjata api.
Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti mantan Hakim Besar Malaya, mantan peguamcara negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian awam terkemuka dan pakar kajian jenayah (criminologist).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.