Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia sedia beri kerjasama penuh jika usaha cari MH370 berhasil: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia sedia beri kerjasama penuh jika usaha cari MH370 berhasil: PM Anwar

(Gambar fail: Agensi berita)

Diterbitkan : 25 Dec 2024 05:01PM Dikemas Kini : 25 Dec 2024 05:04PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil.

PM Anwar berkata kerajaan Malaysia perlu mengimbangi keperluan mencari pesawat tersebut, namun pada masa yang sama, harus memastikan penggunaan dana rakyat dilakukan dengan berhemah.

“Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum terungkai.

“Bukan sahaja keluarga dan waris, malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan kepada segala persoalan. Justeru itu, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam catatan Facebook pada Rabu (25 Dis).

Pada Jumaat lalu (20 Dis), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu telah secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Beliau berkata operasi pencarian di dasar laut akan tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan ia berdasarkan prinsip 'no find, no fee', iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tersebut tidak ditemukan. 

Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita