Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Malaysia sedang selaraskan proses hantar pulang warga Palestin

Penghantaran pulang warga Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan perubatan sedang diselaraskan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan.

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Penghantaran pulang warga Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan perubatan sedang diselaraskan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan.

Demikian kata Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (8 Jan) dimaklumkan mengenai beberapa perbincangan, termasuk insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 4 Januari.
Encik Fahmi berkata proses penghantaran itu sedang berjalan dan pada masa yang sama segala perkhidmatan perubatan yang disediakan untuk warga Palestin akan diteruskan, memandangkan kerajaan Malaysia mengambil serius dari segi kebajikan mereka.

“Penyelarasan sedang dilakukan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan untuk berhubung dengan kerajaan Mesir, untuk mengusahakan penghantaran pulang warga Palestin,” katanya semasa sidang media hari ini.

Encik Fahmi berkata proses penghantaran pulang dan tempoh masa itu akan diselaras dan diurus oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Perbincangan itu diteruskan sama ada akhirnya dihantar pulang melalui Mesir ataupun negara lain. Ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Pada 5 Januari, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di WTKL pada 4 Januari seperti yang tular di media sosial, berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Insiden kekecohan itu adalah kali kedua berlaku selepas kejadian sama berlaku pada Oktober tahun lalu, disebabkan segelintir daripada mereka tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan, selain mengehadkan pergerakan mereka.

Susulan itu, Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali memohon maaf bagi pihak warga Palestin.

Pada 16 Ogos 2024, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.
Sumber : Bernama/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan