Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia sasar hapuskan rasuah dalam tempoh 3 tahun

Kerajaan menyasarkan untuk membersihkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan "kekacauan" rasuah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, terutamanya yang melibatkan "jerung" atau individu berprofil tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia sasar hapuskan rasuah dalam tempoh 3 tahun

Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Oct 2025 07:10AM Dikemas Kini : 01 Oct 2025 07:43AM
  • Kerajaan menyasarkan untuk membersihkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan "kekacauan" rasuah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, terutamanya yang melibatkan "jerung" atau individu berprofil tinggi.
  • Encik Anwar turut menyentuh cabaran dalam membanteras rasuah berprofil tinggi, yang disifatkannya lebih sukar berbanding kes berprofil rendah kerana individu yang digelar "jerung" memiliki sumber dan pengaruh besar, termasuk dalam kalangan media dan pimpinan politik.
  • Beliau berkata pengalamannya sebelum ini yang pernah dipenjara, dipukul dan dihina bukanlah isu besar, namun menegaskan tindakan mencuri kekayaan negara ialah satu bentuk hipokrasi yang tidak boleh dimaafkan.
  • FIM anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh kepimpinan nasional yang berasaskan nilai integriti selain sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang mengangkat peranan ilmu dan wacana terbuka dalam membentuk dasar serta pembangunan negara secara menyeluruh.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menghapuskan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan "kekacauan" rasuah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, terutamanya yang melibatkan "jerung" atau individu berprofil tinggi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu memerlukan ketegasan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat, sama ada menteri, ketua setiausaha (KSU), ketua pengarah (KP) mahupun mereka yang sudah bersara.

“Saya ingat kalau boleh, dalam dua tiga tahun, kita bersihkan kekacauan ini. Mesej jelas. (Sama ada) anda menteri, KSU, atau KP, kalau nampak salah laku, kita akan cari anda.

"Jika bukan hari ini, maka hari esok. Jika bukan esok, tahun depan. Anda pencen pun kita dapat bukti semasa anda berkuasa, kita akan cari anda.

“Saya percaya kalau dalam dua tiga tahun, kita cuba … dan tadi dicadangkan, kalau nak perkukuh lagi PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau badan-badan penguatkuasaan, saya tidak ada halangan,” kata beliau dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 8 dengan topik “Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik”, pada Selasa malam.

Encik Anwar turut menyentuh cabaran dalam membanteras rasuah berprofil tinggi, yang disifatkannya lebih sukar berbanding kes berprofil rendah kerana individu yang digelar "jerung" memiliki sumber dan pengaruh besar, termasuk dalam kalangan media dan pimpinan politik.

Bagaimanapun, Encik Anwar berkata tindakan terhadap "ikan bilis" atau pelaku berprofil rendah juga tidak akan diketepikan, malah akan meneruskan langkah pembersihan itu walaupun berdepan tentangan.

“Kalau tengok keutamaan yang saya berikan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jerung dahulu. Tetapi, tidak bermakna kita harus biarkan ikan bilis itu merayap sehingga jadi terlalu besar,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Encik Anwar turut mempersoalkan sikap segelintir Ahli Parlimen yang dilihat mendiamkan diri, malah mempertahankan pelaku rasuah walaupun bukti berbilion ringgit kekayaan dikumpul secara tidak sah.

Beliau berkata pengalamannya sebelum ini yang pernah dipenjara, dipukul dan dihina bukanlah isu besar, namun menegaskan tindakan mencuri kekayaan negara ialah satu bentuk hipokrasi yang tidak boleh dimaafkan.

“Soal saya dipenjarakan, soal saya dipukul, diaibkan, itu saya tidak jadikan isu. Saya boleh maafkan. Tetapi, curi daripada negara, berbilion (ringgit), itu sejujurnya hipokrasi.

“Kalau ada bukti, itu terserah kepada SPRM siasat, hakim memutuskan. Bukan urusan saya. Urusan saya, wang yang diambil dan dipunggah berbilion (ringgit) kekayaan yang tidak sah, mesti dipulangkan kepada rakyat,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Anwar turut menekankan bahawa reformasi institusi tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan, sebaliknya memerlukan usaha untuk memberikan pencerahan kepada rakyat, berteraskan nilai, ilmu dan kefahaman terhadap tanggungjawab kepimpinan.

Awal dari itu, Encik Anwar hadir sebagai moderator pada Forum Ilmuan Malaysia Siri 8 yang berlangsung di Institut Integriti Malaysia (IIM).

Forum itu menampilkan ahli panel terdiri daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIM Ahmad Ramdzan Daud dan Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam forum berkenaan, Encik Anwar turut mendengar pandangan ahli panel serta hadirin mengenai keperluan melaksanakan reformasi yang holistik dan sistemik bagi memperkasakan nilai integriti dalam kepimpinan, terutamanya dalam menangani isu tadbir urus, salah guna kuasa dan rasuah.

FIM anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh kepimpinan nasional yang berasaskan nilai integriti selain sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang mengangkat peranan ilmu dan wacana terbuka dalam membentuk dasar serta pembangunan negara secara menyeluruh.
Sumber : Bernama/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita