Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia pertimbang larang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia pertimbang larang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial

(Gambar: Michael M. Santiago/Getty Images/AFP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi Malaysia menimbangkan untuk tidak membenarkan kanak-kanak bawah usia 13 tahun mempunyai akaun media sosial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, bagi yang berusia 13 tahun ke atas, modul literasi digital perlu diberi kepada mereka supaya memahami kerencaman maklumat yang sedia ada, menurut laporan Berita Harian Malaysia.

"Sekiranya ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya kepada mereka adakah anda mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.

"Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi, kita sedang teliti, salah satu caranya ialah bawah 13 tahun kita tidak membenarkan mempunyai akaun media sosial," katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Rabu (30 Jul), seperti dinukil Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkaitan cadangan mewujudkan dasar khas kebangsaan bagi kesejahteraan kanak-kanak khususnya bagi kandungan online.

Dalam pada itu, Encik Fahmi memaklumkan 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berikutan permohonan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, tindakan itu berikutan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan masyarakat penyedia platform.

"Sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan yang memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti 'brain rot' dapat dikawal dan pendedahan terhadap pengguna muda termasuk remaja dan kanak-kanak dapat dicegah.

"Antara langkah-langkah kawal selia yang telah dan sedang dilaksanakan adalah sesi libat urus berterusan dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.

"Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan," katanya, seperti dipetik Berita Harian Malaysia.
 
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita