Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia percepat pelaksanaan baki syor RCI Tabung Haji: Menteri Agama

Kerajaan Malaysia akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang masih belum dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kebijaksanaan, realiti semasa dan pertimbangan berkaitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia percepat pelaksanaan baki syor RCI Tabung Haji: Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 02:42PM Dikemas Kini : 30 Jul 2026 02:55PM
  • Kerajaan Malaysia, melalui Dr Zulkifli Hasan, akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor RCI berkaitan Tabung Haji yang belum dilaksanakan, mengambil kira realiti semasa dan kebijaksanaan.
  • Setakat ini, 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan, meletakkan Tabung Haji di landasan pengurusan yang baik dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
  • Laporan RCI yang diterbitkan JAKIM mencadangkan penambahbaikan struktur tadbir urus, termasuk pengasingan tanggungjawab kewangan dan had kuasa Menteri Hal Ehwal Agama.
  • Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) di Kuala Lumpur menghimpunkan pakar dan pengamal industri untuk membincangkan isu semasa serta memperkukuh sektor kewangan Islam negara.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang masih belum dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kebijaksanaan, realiti semasa dan pertimbangan berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan Malaysia sentiasa terbuka dan sedia melakukan perubahan, selain melihat syor berkenaan sebagai peluang untuk memperkukuh institusi berkenaan.

"Ada banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk memastikan institusi yang kita sayangi ini terus terbang tinggi," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI), di Kuala Lumpur pada Khamis (30 Jul).

Dr Zulkifli berkata, 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan oleh RCI sudah dilaksanakan, meletakkan TH di landasan yang tepat dalam pengurusan deposit dan operasi haji sehingga membolehkan institusi itu menerima Diamond Award bagi pengurusan haji terbaik dunia pada musim haji 1447H/2026M.

Mengenai syor supaya struktur tadbir urus TH disusun semula, beliau terbuka untuk mempertimbangkan cadangan tersebut termasuk mengasingkan tanggungjawab pengurusan kewangan, dana dan pelaburan di bawah Menteri Kewangan.

Dr Zulkifli berkata, syor mengehadkan bidang kuasa Menteri Hal Ehwal Agama kepada pengurusan haji merupakan antara cadangan dikemukakan dalam Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan pada Rabu.

Pada Rabu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman, yang antara lain mengandungi syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.

Mengenai penganjuran MMKI, beliau berkata, muzakarah itu penting bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara yang menduduki tangga teratas dunia dalam Indeks Ekonomi Islam.

Platform itu menghimpunkan pakar kewangan, ahli akademik dan pengamal industri bagi membincangkan isu semasa serta meneliti cabaran dan perkembangan global untuk menentukan hala tuju sektor kewangan Islam negara.

Dr Zulkifli berkata, MMKI yang dipelopori Co-opbank Pertama (CBP) turut berperanan sebagai platform rujukan kepada pemain industri yang mengendalikan perbankan dan kewangan Islam.

"Muzakarah ini akan membincangkan isu-isu semasa dan realiti hari ini termasuk meneliti perkembangan yang berlaku pada peringkat global.

"Pakar-pakar akan mengemukakan input serta pandangan mereka, sekali gus menyediakan maklumat dan data baharu kepada pengamal perbankan serta pemain industri kewangan Islam termasuk CBP untuk membangunkan produk, instrumen dan penyelesaian terbaik kepada masyarakat," kata Dr Zulkifli.
Sumber : Bernama/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita