Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia masih teliti subsidi diesel, bantuan kepada rakyat

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian tersebut menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.

“Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis (11 Jul).

Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya, tambahnya.

Kementerian Ekonomi memaklumkan pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan fungsian yang dijalankan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Selain itu, pengagihan bantuan sosial juga sedang dikaji bagi memastikan rakyat, khususnya penerima bantuan tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan apabila kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi,” jelasnya.

Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Muhyiddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan yang terlibat serta pendekatan.

Kementerian itu menjelaskan bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan.

“Kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” jelasnya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita