Kerajaan Malaysia kaji saranan feri Johor Bahru-Singapura bagi kurangkan kesesakan Tambak Johor
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. (Gambar fail: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu Dewan Rakyat pada Khamis (26 Okt) bahawa kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Menurut beliau, ia termasuk cadangan mewujudkan perkhidmatan feri menghubungkan kedua-dua negara, terutamanya dari Johor Bahru ke Singapura.
Tambah beliau selanjutnya, isu berkenaan sememangnya dalam perhatian kerajaan malah Jawatankuasa Khas Kabinet turut ditubuhkan bagi membincangkan masalah tersebut.
“Kita sedang cuba melihat pelbagai cara, melibatkan koordinasi daripada pelbagai agensi untuk mengurangkan masa yang kita perlukan untuk menyeberangi Tambak Johor itu.
“Antara perkara diambil perhatian, umpamanya kaunter untuk kemasukan dari Singapura, untuk membayar caj, sudah disatukan.
“Sudah tentunya ia menjimatkan masa tapi ada pelbagai cara lain juga, seperti menambah lorong motosikal, kaunter dan memastikan semua kaunter itu digunakan sepenuhnya.
“Kita rasa bukan mudah untuk kita selesaikan kesesakan ini. Dari segi jangka masa panjang, bila siap projek RTS, ia dapat menyuraikan kesesakan di Tambak Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang membangkitkan isu kesesakan di Tambak Johor dalam Dewan Rakyat pada Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.