Skip to main content

Dunia

Kerajaan Malaysia ingin tingkatkan prestasi perkhidmatan awam, pastikan rakyat terima manfaat

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Malaysia ingin tingkatkan prestasi perkhidmatan awam, pastikan rakyat terima manfaat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Aug 2024 09:29PM
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia komited untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam dengan fokus utama untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan awam yang berkualiti dan terbaik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu akan dilaksanakan melalui Reformasi Perkhidmatan Awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“(Menerusi SSPA) ganjaran akan hanya diberikan kepada penjawat awam yang benar-benar layak dan berprestasi dalam menjalankan tugas mereka.

“Penjawat awam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan di bawah KPI MyPerformance akan terlepas daripada kenaikan pangkat. 

“Tindakan yang sama juga akan dikenakan kepada ketua-ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku anak buahnya,” katanya dalam kenyataan sempena pengumuman SSPA yang berkuat kuasa 1 Disember.

Hari ini (16 Ogos), Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Encik Anwar berkata SSPA mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Sementara itu, Encik Nga berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri komited untuk memimpin melalui teladan dan ia terbukti apabila Encik Anwar masih berkhidmat tanpa menerima sebarang gaji.

“Ketika penjawat awam menikmati kenaikan gaji, Perdana Menteri masih berkhidmat tanpa menerima sebarang gaji, baik di Jabatan Perdana Menteri mahupun di Kementerian Kewangan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengorbanan beliau yang terus berkhidmat untuk negara tanpa menerima sebarang gaji,” katanya.

Beliau berkata menteri Kabinet juga akan terus mengalami potongan gaji sebanyak 20 peratus.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita