Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia timbang permintaan naikkan tambang bas ekspres

Kerajaan Malaysia akan menimbangkan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia timbang permintaan naikkan tambang bas ekspres

(Gambar fail: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 07:41PM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 07:53PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menimbangkan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Kali terakhir tambang bas ekspres dinaikkan kata beliau ialah pada 2009 dan sekiranya disetujui, kerajaan akan memastikan peningkatan kali ini adalah pada kadar munasabah untuk membantu pengusaha bas ekspres menampung peningkatan kos operasi, tanpa membebankan penumpang.

“Daripada perbincangan dan konsultasi dengan pengusaha bas ekspres, memang terdapat permintaan dan desakan yang kuat daripada mereka terhadap kerajaan supaya dibenarkan menaikkan kadar tambang dalam lingkungan 10 peratus hingga 30 peratus.

“Dalam situasi rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, sebarang keputusan harus dibuat secara teliti dan kementerian akan mengutarakan syor kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya.

Semakan tambang yang dilaksanakan pada 2009 menetapkan kenaikan sebanyak 31 peratus daripada 6.5 sen Malaysia sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer manakala kadar surcaj ditetapkan pada kadar 0.8 sen sekilometer pula dikenakan sejak 2015, menjadikan kadar tambang dinaikkan kepada 9.3 sen sekilometer sehingga kini.

Sementara itu, Encik Kamarudin berkata kementeriannya sudah mengenal pasti pengendali bas berisiko tinggi berdasarkan rekod pematuhan peraturan jalan raya mereka.

Kementerian juga memperkenalkan Sistem Mata Demerit pada April 2017 yang melibatkan kategori pemegang lesen kenderaan pengangkutan jalan selain sistem penarafan Malaysia Bus Star Rating (MBSR) yang akan diperkenalkan pada 2019 untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas ekspres, tambahnya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita