Kerajaan M'sia ingin kenal pasti sebab ramai rakyat masih belum daftar vaksin
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencari dan mengenal pasti faktor yang menyebabkan sebahagian besar rakyat masih belum mendaftar untuk suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
(Gambar: AP Photo/Vincent Thian)
SEGAMAT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencari dan mengenal pasti faktor yang menyebabkan sebahagian besar rakyat masih belum mendaftar untuk suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Beliau menjelaskan KKM menyasarkan 70 hingga 80 peratus penduduk Malaysia mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tetapi sehingga kini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Saya tidak berpuas hati lagi. KKM masih belum berpuas hati, kemungkinan besar KKM akan mencari punca sebab apa mereka tidak daftar. Adakah kempen tidak cukup kuat atau mereka takut atau mahu tunggu dan lihat? Ada juga yang dakwa vaksin begitu begini.
"Atau adakah mereka tidak dapat liputan aplikasi MySejahtera di kawasan masing-masing atau kurang pengetahuan. Setakat ini, 7 juta (yang berdaftar) masih rendah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi COVID-19 ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ Peringkat Daerah Segamat pada Ahad (4 Apr).
Tambahnya lagi, KKM berharap jumlah pendaftaran akan meningkat sebelum fasa kedua suntikan vaksin COVID-19 bermula pada 17 April bagi mengelak kesulitan berlaku di fasa akhir pemberian suntikan vaksin berkenaan.
Pendaftaran secara manual di pejabat kesihatan, klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta sudah dibuka bagi memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kemudahan teknologi dan akses Internet untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin yang diberi secara percuma.
Dr Adham menegaskan keberkesanan suntikan vaksin sudah terbukti apabila statistik petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 menunjukkan penurunan.
Beliau seterusnya berkata, 6,087 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan direkodkan sehingga semalam (4 Apr) dengan jururawat dicatatkan jumlah yang tertinggi iaitu 2,276 kes atau 37 peratus, diikuti pegawai perubatan 816 kes atau 13 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.