Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia digesa segera bentang rang undang-undang gangguan seksual

Beberapa Ahli Parlimen Malaysia pada Isnin (20 Sep) menggesa kerajaan supaya membentangkan rang undang-undang mengenai gangguan seksual di Dewan Rakyat dengan segera bagi melindungi kaum wanita di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia digesa segera bentang rang undang-undang gangguan seksual

Gambar Fail.

Diterbitkan : 20 Sep 2021 09:08PM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 09:11PM

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Malaysia pada Isnin (20 Sep) menggesa kerajaan supaya membentangkan rang undang-undang mengenai gangguan seksual di Dewan Rakyat dengan segera bagi melindungi kaum wanita di negara itu.

Cik Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata walaupun terdapat peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun terdapat banyak lagi ‘grey area’ atau samar-samar terutama ketika menyentuh tentang gangguan seksual siber.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial digunakan sepenuhnya sebagai satu daripada platform dalam libat urus.

“Saya juga melihat bahawa model All-Party Parliamentary Group Malaysia-Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) bagi menangani isu wanita adalah bersesuaian, malah boleh digunakan dalam skop yang lebih luas,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 12 Sep lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (AGS) sudah mula digubal secara kolektif melalui satu pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Sementara itu Encik Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata rang undang-undang berhubung perkara itu perlu segera dibentang dan diluluskan bagi membendung isu gangguan seksual terutamanya di sekolah, asrama dan institut pengajian tinggi.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Murid oleh Kementerian Pelajaran sejak 2011 tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya lagi, kedua-dua SOP dan garis panduan itu harus digantikan dengan yang baru, selari dengan ketetapan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kes-kes gangguan seksual di sekolah, asrama dan institut pengajian tinggi adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia memerlukan campur tangan serius pihak kerajaan dan kementerian-kementerian yang berkenaan,” kata bekas menteri pendidikan itu.

Cik Hannah Yeoh (PH-Segambut) pula meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menambah peruntukan untuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menambah tenaga kerja yang mempunyai pengalaman untuk menyelesaikan aduan kes-kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau juga mencadangkan KDN supaya cawangan khas PDRM memberi tumpuan dan memanfaatkan sumber serta kepakaran polis untuk menangani kes-kes pedofil dalam negara. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan