Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia benarkan hanya tukang masak tempatan mulai tahun depan

Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di Malaysia mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia benarkan hanya tukang masak tempatan mulai tahun depan

Seorang pelayan di sebuah restoran di Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2018 04:34PM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 04:42PM

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di Malaysia mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Bagaimanapun Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan sahaja bekerja di restoran mereka. Peraturan baru itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.

"Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi. Kami beri masa hingga 31 Disember untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi," tambah beliau.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (PRISMA) di Petaling Jaya.

Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan PRISMA serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Beliau berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan menteri itu, Presiden PRISMA P. Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

"Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja," katanya.

Beliau berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu. 

Presiden PRESMA, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

"Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 (S$625) pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran," katanya.

Sumber : Bernama/EM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan