Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia belum putuskan sama ada projek HSR KL-S'pura akan disambung

Kerajaan Malaysia masih belum memutuskan sama ada projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan disambung atau sebaliknya memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan peringkat awal.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia belum putuskan sama ada projek HSR KL-S'pura akan disambung

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 12:48PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 12:51PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia masih belum memutuskan sama ada projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan disambung atau sebaliknya memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan peringkat awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamad berkata projek itu terbatal apabila perjanjian dua hala mengenai projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura luput pada 31 Disember 2020.

Bagaimanapun katanya, dalam pertemuan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 29 November 2021, cadangan untuk merunding semula projek HSR antara Kuala Lumpur dengan Singapura dibangkitkan.

"Dalam responnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baru daripada Malaysia untuk projek HSR ini.

"Saya ingin menekankan bahawa kemungkinan untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal," katanya di sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini (9 Dis).

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-DAP) berhubung anggaran kos projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru yang akan dibatalkan untuk digantikan dengan cadangan memulihkan HSR Kuala Lumpur-Singapura dan sama ada kerajaan dapat memastikan harga asalnya sebanyak RM100 bilion (S$32.3 bilion) boleh dikurangkan kepada RM50 bilion (S$16.15 bilion).

Sehubungan itu, Encik Mustapa berkata persoalan Encik Lim sama ada kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dikurangkan kepada RM50 bilion adalah tidak berbangkit.

Mengikut anggaran yang telah dibuat oleh Malaysia, di bawah model yang dicadangkan iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah berbanding kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0.

Menurut Encik Mustapa, di antara struktur model yang terkandung dalam cadangan HSR 1.0 dan 2.0 dalah pewujudan syarikat Assetco.

"AssetCo adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh pihak swasta dan dikawal selia bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura. Syarikat ini berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset kereta api yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai dan menyelenggara sistem dan aset kereta api serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stokereta.

"Di bawah model HSR 2.0 (Baharu) yang dikemukakan kepada pihak Singapura, Malaysia telah mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Singapura. Dengan itu, perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 telah terbatal," jelas Encik Mustapa.

Sementara itu, beliau berkata apabila HSR Kuala Lumpur-Singapura terbatal, kerajaan memutuskan supaya kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur – Iskandar Puteri dilaksanakan.

Kajian yang mula dilaksanakan pada Februari 2021 itu telah selesai dan akan dibentangkan di kabinet dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju cadangan projek tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa sejak tahun 2013, kesemua rundingan mengenai projek HSR diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Encik Mustapa berkata pada pertengahan 2020, jemaah menteri memutuskan agar beliau mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek berkenaan dengan Singapura.

"Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses memindahkan syarikat MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR, daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan.

"Oleh hal yang demikian, kesemua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan," ungkapnya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan