Kerajaan M'sia akan teliti isu keselamatan, budaya pelaksanaan Gojek
Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan isu keselamatan pengguna jalan raya berhubung cadangan pelaksanaan perkhidmatan e-hailing motosikal yang dikenali sebagai Gojek.
(Gambar hiasan: Facebook/Gojek Indonesia)
GEORGE TOWN: Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan isu keselamatan pengguna jalan raya berhubung cadangan pelaksanaan perkhidmatan e-hailing motosikal yang dikenali sebagai Gojek.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan dan laporan kajian hala tuju dan mekanisme perkhidmatan e-hailing motosikal akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, kerajaan juga akan meneliti isu-isu lain termasuk insurans dan ketidaksesuaian budaya apabila penunggang motosikal lelaki membawa pembonceng wanita yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
"Kabinet sudah memberikan satu keputusan berprinsip untuk membenarkan perkhidmatan dan kita juga melihat ada banyak kebaikan yang dapat dijana daripada perkhidmatan itu.
"Namun, isu keselamatan harus dipandang serius dan banyak ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya bakal diperkenalkan dalam perkhidmatan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pas Mutiara di George Town pada Jumaat (23 Ogos).
Rabu lepas, Menteri Pembangunan dan Usahawan Mohd Redzuan Mohd Yusof dilaporkan berkata Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan perkhidmatan Gojek itu dan jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.
Sementara itu, Encik Loke berkata cadangan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim masih lagi dalam peringkat perbincangan dan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini berhubung perkara itu.
Beliau berkata cadangan pembinaan lapangan terbang itu adalah inisiatif swasta dan kosnya juga akan dibiayai oleh pihak swasta.
"Setakat ini, perbincangan berhubung projek itu hanya di peringkat awal melibatkan pegawai negeri-negeri bersama kementerian yang membincangkan rangka dan maklumat berhubung cadangan tersebut," katanya.
Tambahnya, kerajaan Kedah telah menubuhkan sebuah syarikat untuk mengendalikan projek itu.
Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion (S$1.2 bilion), termasuk pembinaan lapangan terbang itu yang membabitkan pelaburan luar bernilai RM1.6 bilion (S$530 juta).
Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpendapat pembinaannya di lokasi yang terletak hanya kira-kira 60 kilometer dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif terhadap ekonomi dan lapangan antarabangsa negeri itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.