Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia akan kaji projek jambatan bengkok, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji cadangan untuk meneruskan semula pembinaan projek “jambatan bengkok” yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia akan kaji projek jambatan bengkok, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 10:14PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 10:19PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji cadangan untuk meneruskan semula pembinaan projek “jambatan bengkok” yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

"Cadangan itu dibangkitkan oleh (kerajaan) Johor dan kami akan kaji," kata Dr Mahathir kepada para wartawan selepas membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di Dewan Rakyat hari ini (18 Okt).

Namun, nampaknya ada percanggahan dalam kepimpinan Malaysia sendiri dalam hal ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar pula hari ini berkata pembinaan jambatan ketiga untuk menghubungkan Malaysia dan Singapura wajar dipertimbangkan bagi mempertingkatkan perhubungan dan mengurangkan kesesakan.

"Saya yakin kerajaan Singapura akan mempertimbangkan perkara ini demi keuntungan jangka panjang bersama kedua-dua buah negara," kata beliau sebagai respons kepada minat ramai yang mahu cadangan projek jambatan bengkok dari Malaysia ke Singapura dihidupkan semula, dan menambah, kedua-dua negara kini amat memerlukan jambatan ketiga, bengkok ataupun sebaliknya.

Namun di sudut lain, Dr Mahathir pula berkata “jambatan bengkok” boleh dibina pada bila-bila masa kerana ia tidak melibatkan pemerintah Singapura berbanding jambatan ketiga yang dicadangkan.

"Ada pihak kata mereka tidak mahu ‘jambatan bengkok’. Mereka mahu jambatan ketiga. Jambatan ketiga ke Singapura… mereka perlu minta persetujuan Singapura.

"Dan saya fikir Singapura mungkin tidak akan beri persetujuan. Tetapi ‘jambatan bengkok’ tidak melibatkan Singapura langsung. Jadi, kita boleh bina ‘jambatan bengkok’ pada bila-bila masa," katanya.

TAPI SETUJU PROJEK JAMBATAN BUKAN KEUTAMAAN

Pada Selasa lalu (16 Okt), Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata Dr Mahathir berminat dengan cadangan untuk meneruskan semula projek "jambatan bengkok".

Projek itu diilhamkan oleh Dr Mahathir sebelum beliau bersara sebagai perdana menteri pada tahun 2003 tetapi penggantinya, Encik Abdullah Ahmad Badawi, membatalkannya apabila mengambil alih jawatan perdana menteri negara itu.

Dr Jayakumar dalam pada itu juga bersetuju dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali bahawa projek itu bukan keutamaan yang perlu disegerakan berikutan kedudukan semasa ekonomi negara.

Bagaimanapun kata beliau, selepas mendengar maklum balas daripada kedua-dua rakyat Johor dan Singapura mengenai perkara itu sejak beberapa tahun ini, beliau berkata jambatan ketiga yang dicadangkan itu boleh dibina dari Pasir Gudang, Johor ke Pulau Punggol Barat, Singapura. 

Sumber : Agensi berita/DY/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita