Skip to main content

Dunia

Kerajaan M'sia adakan jualan barangan asas bagi tangani kenaikan harga: Menteri

Kerajaan Malaysia akan melancarkan Jualan Keluarga Malaysia melibatkan barangan keperluan asas di 222 kawasan Parlimen seluruh negara bermula 4 Disember ini, sebagai antara langkah memastikan pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga lebih murah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia adakan jualan barangan asas bagi tangani kenaikan harga: Menteri

(Gambar: Jules Rahman Ong)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 07:16PM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 07:19PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan melancarkan Jualan Keluarga Malaysia melibatkan barangan keperluan asas di 222 kawasan Parlimen seluruh negara bermula 4 Disember ini, sebagai antara langkah memastikan pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga lebih murah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi berkata jualan itu dilaksanakan dua kali dalam sebulan dengan barangan keperluan asas akan dipastikan 15 peratus hingga 20 peratus lebih murah.

“Kami telah dapat kerjasama daripada semua agensi terlibat bagi memastikan jualan ini sampai ke sasaran keluarga Malaysia yang terkesan akibat kenaikan harga barang,” katanya semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Selasa (30 Nov).

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan), meminta kementerian menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi menurunkan harga barangan yang naik dengan tinggi dan mendadak bulan ini.

Menjawab lanjut, Encik Nanta berkata bagi memastikan harga barangan berada pada paras munasabah, kementerian telah menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga bagi mengawal 480 produk kawalan di premis seluruh negara.

“Kementerian juga akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas dan tarikhnya akan diumum dalam tempoh terdekat.

“Saya ingin memberikan amaran di sini agar tiada pihak cuba menaikkan harga. Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Encik Lim mengenai penyelesaian terhadap pengeluar yang terpaksa menaikkan harga barang kerana kekangan kenaikan kos operasi, Encik Nanta berkata KPDNHEP sedang mengadakan libat urus dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan pengawalan harga di peringkat ladang atau kebun dapat dilaksanakan.

Ia katanya perlu melibatkan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan pengeluar juga dapat mengimbangi kos operasi mereka.

“Sebab itu kami tidak tergesa-gesa melaksanakan sekatan harga maksimum, jika kos operasi tak bantu peniaga (mereka) terpaksa jual mahal, sebab kami tahu keluhan peniaga-peniaga ini. Isu ini bukan hanya terletak di tangan KPDNHEP, ia perlu dilihat sampai di peringkat kebun, ladang,” katanya.

Dalam pada itu Encik Nanta berkata isu kenaikan harga bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut dirasai secara global.

Katanya, kajian badan dunia antaranya, Forum Ekonomi Dunia (WEF), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Institut Penyelidikan Dasar Makanan Antarabangsa (IFPRI) turut menyokong perkara itu, malah laporan Cable News Network (CNN) pada 5 Nov lepas memetik kenaikan harga makanan dunia melonjak sehingga 30 peratus tahun ini.

Beliau berkata KPDNHEP akan terus melaksanakan langkah proaktif termasuk menggerakkan 2,200 penguat kuasa sedia ada bagi memastikan tidak berlaku aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan secara beretika di seluruh negara.

Kementerian juga akan terus menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketidakberadaan barangan dalam pasaran.

Di pihak pengguna pula, sekiranya berlaku harga yang tidak munasabah, hak pengguna dibela di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita